Harimau Malaya bangkit benam Yaman

Bernama
Mac 22, 2013 15:41 MYT
Harimau Malaya melakarkan kemenangan pertama setelah mengalahkan Yaman 2-1 pada perlawanan pusingan kelayakan Piala Asia 2015 peringkat Kumpulan D di Stadium Shah Alam, malam ini.
Skuad bimbingan Datuk K. Rajagobal menerima kejutan awal apabila Aiman Saleh Abd Al-Hagri menjaringkan gol pembukaan pada minit ke-11.
Harimau Malaya, dalam misi memburu dua pasukan teratas dalam kumpulan itu, bagaimanapun menyamakan kedudukan menerusi jaringan Azammudin Mohd Akil pada minit ke-26, hasil hantaran kemas oleh Mahalli Jasuli.
Skuad negara memperoleh peluang emas untuk mendahului saingan pada minit ke-40 tetapi sepakan deras penyerang berbisa Norshahrul Idlan Talaha tersasar selepas terkena pemain lawan.
Pada babak kedua, skuad negara rancak mengatur serangan bertali arus namun gagal menebusi benteng pertahanan lawan.
Bagaimanapun, percaturan Rajagobal membawa masuk Mohd Khyril Muhyameen Zambri membuahkan hasil apabila pemain itu menjaringkan gol kemenangan pada minit ke-75.
Pada perlawanan pertama, Harimau Malaya kalah 2-0 kepada Qatar di Doha pada 6 Feb lepas.
Malaysia dijadulkan bertemu Bahrain pada 15 Okt ini.
#harimau Malaya #Malaysia #Piala Asia #Yaman