Hariff Salleh ingin tebus kekecewaan pada Tour de Thailand

Bernama
Mac 31, 2017 12:52 MYT
Mohd Harriff percaya perlumbaan itu menjadi pengukur kepada stamina dan momentumnya. - Foto: Bernama
Pelumba pecut negara Mohd Hariff Salleh tekad untuk meraih kemenangan dengan menaiki beberapa podium dalam siri jelajah Thailand yang bakal membuka tirai perlumbaan, Sabtu ini.
Anak kelahiran Kuala Terengganu itu berkata sasaran yang diletakkan itu bagi menebus kekecewaan selepas gagal menamatkan perlumbaan dalam Le Tour De Langkawi Februari lalu.
Katanya, perlumbaan ini juga menjadi pengukur kepada stamina dan momentumnya selepas mengalami kecederaan selepas terjatuh ketika saingan LTdL lepas.
"Fokus saya sekarang untuk menaiki podium bagi membangkit kembali semangat saya selepas pulih daripada kecederaan dan ini perlumbaan pertama selepas LTdL tempoh hari.
"Setakat ini momentum dan stamina saya berada pada paras terbaik dan saya yakin mampu memberi saingan dengan pelumba lain," katanya kepada Bernama.
Pakar pecut berusia 29 tahun ini berkata antara pasukan yang memberikan cabaran sepanjang enam peringkat perlumbaan itu termasuk pasukan dari Jepun dan Amerika Syarikat.
Menurutnya perlumbaan ini agak mencabar mental dan fizikal selain laluan yang panjang serta agak mencabar dan sokongan rakan sepasukan juga amat ditagih.
Selain Hariff lima lagi pelumba negara yang akan menggalas cabaran Malaysia pada cabaran itu termasuk Nur Amirul Fakhruddin Mazuki.
-- BERNAMA
#Harriff Salleh #Kuala Terengganu #Langkawi #Malaysia #pelumba pecut #Thailand
;