Hari mengecewakan bagi Green, Fung

Bernama
Januari 14, 2018 18:49 MYT
Gavin Green membuat pukulan di lubang pertama pada pusingan terakhir Kejohanan Golf EurAsia 2018 di Glenmarie Golf & Country Club hari ini. --fotoBERNAMA
Harapan dua pemain profesional Malaysia, Gavin Kyle Green dan Nicholas Fung untuk mencatat kemenangan dalam acara perseorangan pada hari terakhir kejohanan golf Piala EurAsia 2018 berkecai akhirnya.
Pada pusingan akhir di Glenmarie Golf and Country Club di sini hari ini, Green, yang bermain menentang Rafa Cabrera Bello dari Sepanyol, kalah dengan keputusan 43.
"Memang mengecewakan. Saya tak tahu apa yang hendak dikatakan kerana hari ini adalah hari yang sukar bagi saya. Saya bermula dengan amat teruk.
"Rafa bermain seperti biasa saja, tetapi saya melakukan terlalu banyak bogey. Macam bodoh pula apabila memberinya peluang untuk mendahului kedudukan," katanya kepada pemberita selepas perlawanan itu.
Green bagaimanapun bermain dengan baik pada pusingan pertama dan kedua bagi membantu Team Asia mendahului kedudukan apabila dia sendiri menyumbang dua mata dalam perlawanan menggunakan format fourballs dan foursomes itu.
"Saya tetap cuba mara dan mendapatkan kembali rentak dengan harapan sekurang-kurangnya dapat membantu mendapatkan satu mata untuk Team Asia. Apa yang dapat saya lakukan sekarang hanyalah duduk, menonton dan memberi sokongan," katanya.
Sementara itu, Fung, yang berdepan dengan Alex Noren dari Sweden pada perlawanan pertama, juga mengalami nasib serupa apabila kalah dengan mudah kepada pemain itu dengan mata 42.
"Setelah keputusan pengundian diumumkan semalam, saya tahu laluan adalah sukar apabila perlu bermain menentang Noren memandangkan dia adalah antara pemain golf terbaik di Eropah.
"Ia merupakan pendedahan baik bagi saya dan Team Asia. Saya tahu memang sukar apabila beraksi menentang pemain golf dari Eropah, tetapi kami tetap cuba mengalahkan Eropah agar ia meningkatkan keyakinan kami untuk bermain di Eropah pada masa akan datang," katanya.
Team Europe memberi tentangan sengit pada pusingan akhir kejohanan golf EurAsia Cup 2018 dan mengatasi Team Asia dengan begitu ketara.
Pasukan diketuai Thomas Bjorn itu menambah lapan setengah mata melalui acara perseorangan hari ini untuk meraih kemenangan keseluruhan dengan memperoleh 14 mata untuk menjuarai kejohanan itu dengan kelebihan empat mata.
-- BERNAMA
#Alex Noren #Gavin Kyle Green #golf #Malaysia #Nicholas Fung #Piala EurAsia 2018 #Rafa Cabrera Bello #sepanyol #Sweden #Team Asia
;