Hari Bola Sepak Akar Umbi secara tahunan - FAM
Bernama
Mei 12, 2018 20:53 MYT
Mei 12, 2018 20:53 MYT
Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) berhasrat menganjurkan Hari Bola Sepak Akar Umbi secara tahunan, kata setiausaha agungnya, Datuk Hamidin Mohd Amin.
"Inisiatif ini telahpun dijalankan oleh FIFA (Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa) dan AFC (Konfederasi Bola Sepak Asia) sebelum ini. Program seperti ini adalah bagus. Semua ahli gabungan perlu mengadakannya secara tahunan. Ini adalah bagus untuk menarik minat terhadap sukan bola sepak diperingkat akar umbi.
"Kita (FAM) juga mahu di peringkat negeri, acara seperti ini dapat juga diadakan," katanya ketika ditemui pada sambutan Hari Akar Umbi Bola sepak AFC 2018 di padang Wisma FAM, Kelana Jaya, di sini hari ini.
Turut hadir pada sambutan berkenaan ialah setiausaha agung AFC, Datuk Windsor Paul dan beberapa anggota exco serta pengarah teknikal FAM, Peter de Roo dan Ketua Unit Akar Umbi FAM, Samuel Siew.
Lebih 200 peserta yang terdiri daripada kanak-kanak, lelaki dan perempuan, berusia 6 hingga 12 tahun menyertai Hari Bola Sepak Akar Umbi AFC 2018 itu.
Pada majlis itu juga, FAM memperkenalkan pemain skuad B-23 kebangsaan, Hadi Fayyadh Abdul Razak dan pemain futsal wanita kebangsaan, Intan Sarah Anisah Zulgafli sebagai duta Akar Umbi FAM.
Sambutan Hari Akar Umbi Bola sepak AFC 2018 itu diserikan dengan perlawanan pertunjukan bola sepak berjalan atau 'Walking Football' yang disertai Hamidin dan legenda bola sepak negara, Datuk Soh Chin Aun dan Datuk Santokh Singh serta beberapa personaliti lain.
Meskipun bola sepak berjalan ini sudah lama bertapak di United Kingdom dan popular di Singapura, namun ia kurang dikenali di Malaysia.
"Bola sepak berjalan memerlukan gerakan tubuh yang minimum dengan risiko kecederaan yang lebih rendah, ia pilihan sesuai untuk individu yang mengalami masalah kesihatan.
"Ia sebagai salah satu inisiatif untuk menggalakkan lebih ramai individu terbabit aktif dalam acara berbentuk fizikal. Apa yang penting, ia mudah dan menyeronokkan," kata Adjunct Akademik (kerjasama antarabangsa), perunding, pakar fisiologi dan pemakanan Universiti Edith Cowan Australia, Dee Dee Mahmood. -- Bernama
#afc
#berita sukan
#FAM
#FIFA
#Hadi Fayyadh
#Hamidin Mohd Amin
#Hari Bola Sepak Akar Umbi
#Intan Sarah Anisah
#Persatuan Bola Sepak Malaysia
#Santokh Singh
#Soh Chin Aun