Harapan kepada badminton tuai dua emas

Bernama
April 14, 2018 07:27 MYT
Aksi Datuk Lee Chong Wei ketika menentang H.S. Prannoy dari India pada perlawanan separuh akhir Sukan Komanwel di Carrara Sports and Leisure Centre, Gold Coast, 14 April, 2018. --fotoBERNAMA
Tumpuan kontinjen negara pada hari terakhir temasya Sukan Komanwel 2018 akan tertumpu kepada kemampuan untuk merealisasikan dua pingat emas dalam acara badminton perseorangan lelaki dan beregu wanita, esok.
Daripada empat aksi separuh akhir badminton melibatkan pemain negara hari ini, hanya dua berjaya mara ke final - Datuk Lee Chong Wei dalam acara perseorangan lelaki dan Vivian Hoo-Chow Mei Kuan bagi kategori beregu wanita.
Chong Wei yang berada di ranking ketujuh dunia, berkata beliau akan mempersiapkan diri bagi menghadapi lawan mencabar seperti K.Srikanth dari India yang baru dinobatkan selaku pemain di ranking nombor satu dunia.
Beliau berkata tekanan yang lebih mungkin dihadapi Srikanth kerana pemain itu kini menduduki ranking teratas dunia.
Bagi Vivian-Mei Kuan, gandingan mereka mungkin mempunyai sedikit kelebihan kerana sebelum ini Vivian berpasangan dengan Woon Khe Wei, dan corak permainan mereka mungkin sudah dapat dijangka pihak lawan.
Vivian-Mei Kuan akan berdepan pasangan berada di ranking ke-27 dunia dari England, Lauren Smith-Sarah Walker dalam perebutan pingat emas acara beregu wanita.
Pada saingan hari ini, kontinjen negara berjaya menambah dua pingat gangsa menerusi acara badminton apabila Goh V Shem-Tan Wee Kiong menewaskan gandingan dari Sri Lanka Sachin Dias-Buwaneka Goonethilleka 21-8, 21-13 dalam acara beregu lelaki.
Beregu campuran Chan Peng Soon-Goh Liu Ying turut meraih gangsa selepas mengetepikan pasangan India Satwik Rankireddy-Ashwini Ponnappa 21-19, 21-19.
Acara terjun yang menutup tirai hari ini, tanpa sebarang pingat terhasil di kolam renang.
Kimberly Bong dan Nur Dhabitah Sabri, masing-masing sekadar menamatkan saingan acara 3m papan anjal di tempat ke-10 dan ke-11.
Sementara dalam acara 10m platform individu lelaki, Chew Yi Wei sekadar menamatkan cabaran di kedudukan kesembilan selepas mengutip 362.10 mata.
Secara keseluruhan, acara terjun menyumbang satu pingat emas dan dua gangsa.
Kontinjen negara kini berada di kedudukan ke-12 dengan pungutan lima pingat emas, lima perak dan 12 gangsa.
-- BERNAMA
#badminton #emas #Goh V Shem #India #k srikanth #Kimberly Bong #Lee Chong Wei #Malaysia #Nur Dhabitah Sabri #pingat #Sri Lanka #Sukan Komanwel #Tan Wee Kiong m #terjun
;