"Harap tidak ada yang 'koyak' dengan pantun, seloka saya" - Muhammad Sanusi

Abd Hadi Che Awang
September 14, 2022 16:59 MYT
Sanusi turut berharap tiada pihak yang tersinggung dengan hantaran berbentuk gurauan yang dibuatnya. - Astro AWANI
ALOR SETAR: Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor menjelaskan sebahagian hantaran di media sosial terutama Facebook miliknya termasuk beberapa rangkap pantun dan seloka hanyalah gurauan semata-mata.
Menurut beliau, hantaran itu juga dijadikannya sebagai medium untuk menyampaikan sesuatu mesej untuk berfikir dan tidak bertujuan memecah-belahkan mana-mana pihak.
Sanusi yang juga Presiden Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) turut berharap tiada pihak yang tersinggung dengan hantaran berbentuk gurauan yang dibuatnya.
"Semua hantaran itu adalah seloka sahaja, gurauan, tetapi (saya) ada selit mesej (sebagai) bahan untuk berfikir, tidak ada niat (untuk) pecah belah (mana-mana pihak), nak pecah belah siapa?
"Siapa yang terbecah dan terbelah dengan pantun itu?, (saya rasa) tidak ada, (itu saya) jadikan bahan berfikir, (supaya) jangan kita seronok sahaja, dukacita sahaja, seronok kerana menang, dukacita kerana kalah tanpa memikirkan ibrah atau pengajaran daripada kejadian itu, (sebab itu kita) kena merenung balik.
"(Semua pantun dan hantaran itu) harap-harap tidak ada (pihak) yang koyak (atau terasa)," katanya.
Beliau berkata demikian ketika sidang media selepas Mesyuarat Exco Kerajaan Negeri Kedah di Wisma Darul Aman, di sini, pada Rabu.
Sanusi sering menjadi tumpuan peminat bola sepak tempatan kebelakangan ini apabila membuat beberapa hantarannya di Facebook termasuk tanpa berselindung menyatakan sokongan terbuka terhadap pasukan Terengganu FC dalam perlawanan akhir menentang JDT, Sabtu lalu.
Selepas pasukan pilihannya tumpas, beliau telah membuat ucapan tahniah kepada pasukan JDT namun menyatakan pemain-pemain pasukan Harimau Selatan itu tidak pandai 'bercakap Johor'.
Terbaharu, di ruangan komen salah satu hantaran terbaharunya beliau sempat menukilkan seloka:
"Kalau takut dilambung ombak, jangan berumah di tepi pantai.
"Disangka ayamnya menang pak kadok melompat bersorak.
"Disuruh berkokok nak bunyi eerrkkk! pun tak pandai."
Mengulas mengenainya, beliau berkata, seloka itu tidak ada kena mengena dengan mana-mana pihak yang masib hidup ataupun meninggal dunia.
Seloka itu mendapat pelbagai reaksi pengguna media sosial termasuk ada yang mempersoalkan kekuatan pasukan bola sepak Kedah selain menyatakan Menteri Besar itu suka bergurau secara kasar.
#Muhammad Sanusi Md Nor #Kedah #JDT #jangan koyak
;