Harap skuad hoki kebangsaan terus menyinar
Syamil Izwan Azizan
Mac 20, 2013 22:44 MYT
Mac 20, 2013 22:44 MYT
Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Seri Zolkples Embong berharap skuad hoki kebangsaan kendalian Paul Revington mampu mengekalkan momentum cemerlang mereka.
Ini kerana aksi sedemikan dapat dijadikan kayu pengukur bagi menghadapi Sukan Asia Incheon, Korea Selatan serta Sukan Komanwel Glasgow, Scotland tahun hadapan.
Selain itu, rentak konsisten juga penting untuk mengharungi Piala Asia serta saingan Liga Hoki Dunia, pertengahan tahun ini.
"Saya harap pasukan ini terus lakukan yang terbaik. Kita ada banyak sasaran untuk mereka tahun ini dan tahun hadapan, kita ada Piala Asia dan Siri Dunia untuk layak ke Piala Dunia, keutamaan juga harus diberikan kepada Sukan Asia dan Sukan Komanwel", jelas Zolkples lagi.
Sejak diterajui Revington penghujung tahun lepas, skuad hoki kebangsaan mempamerkan beberapa aksi meyakinkan menerusi gandingan pemain muda dan veteran.
Dalam perkembangan berasingan, Zolkples berharap persatuan sukan lebih peka dengan butiran atlet masing-masing sebelum mendaftarkan mereka bagi menyertai sesuatu kejohanan supaya tidak timbul kekeliruan.
Antara inisiatif yang diambil MSN ialah memperkenalkan mesyuarat pra-pendaftaran delegasi pada temasya Sukan Malaysia ke-16 yang akan dianjurkan badan itu di Kuala Lumpur dari 28 Jun hingga 7 Julai depan.
"Kita akan berbincang dengan kontinjen negeri, teliti pendaftaran semua atlet mengikut acara supaya apabila bermulanya pertandingan, tiada lagi masalah."
"Kita juga tidak perlu membuang masa ketika mesyuarat pengurus kontinjen kerana pendaftaran telah diselesaikan lebih awal", jelas Zolkples lagi.
Sukan Malaysia tahun ini menyaksikan 20 jenis sukan dipertandingkan, membabitkan penyertaan 7,000 atlet dan pengawai.
Zolkples ditemui ketika sidang media Sukan Malaysia 2013, di MSN pada Rabu.