Hapuskan had umur penyertaan Sukma - Ahmad Shapawi
Bernama
Ogos 22, 2024 15:00 MYT
Ogos 22, 2024 15:00 MYT
KUALA LUMPUR: Sudah tiba masanya tiada had umur ditetapkan kepada atlet untuk beraksi di temasya Sukan Malaysia (Sukma) bagi memberi mereka peluang bersaing secara kompetitif sekali gus melahirkan lebih ramai atlet elit untuk diketengahkan di peringkat lebih tinggi.
Ketika melontarkan pandangan, bekas Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN) Datuk Ahmad Shapawi Ismail berkata hal itu kerana kejohanan-kejohanan peringkat kebangsaan yang dianjurkan kini dilihat kurang membantu menaikkan prestasi barisan atlet negara sedia ada.
Malah, beliau berkata kumpulan umur atlet bersaing pada Sukma yang mula diperkenalkan pada 1986, dilihat bertindih dengan beberapa kejohanan sedia ada seperti Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Malaysia (MSSM) dan Majlis Sukan Universiti Malaysia (Masum).
"Badan-badan sukan negeri tidak mampu melaksanakannya secara bersendirian. Mereka perlukan bantuan kerajaan negeri yang sebelum ini memberi keutamaan kepada persediaan Sukma yang masih menumpukan kepada atlet remaja bawah umur 21 tahun.
"Kebanyakan negeri selepas atlet mereka melepasi had umur di Sukma dan dipilih ke pasukan remaja kebangsaan atau pelapis kebanyakannya mereka melepaskan tanggungjawab tersebut kerana ketidakmampuan untuk terus membantu atlet itu.
"Sekiranya sokongan sama diberi kepada atlet senior melepasi had umur Sukma, saya rasa kita akan membuka banyak pilihan terhadap atlet ini. Tidaklah kita bergantung kepada kumpulan atlet sama setiap kali atlet Malaysia hendak melayakkan diri ke temasya sukan antarabangsa," katanya kepada Bernama.
Terdahulu Bernama melaporkan kebergantungan kepada atlet lama atau 'kuda tua' antara punca Malaysia masih kempunan untuk meraih pingat emas pertama di temasya Olimpik.
Pemerhati sukan Asan Ahmad berpandangan skrip itu masih tidak berubah apabila kontinjen negara masih memerah kudrat 'orang lama' bagi merealisasikan impian untuk meraih pingat emas pada edisi Paris 2024.
Dalam pada itu, Ahmad Shapawi berkata Malaysia boleh menjadikan Indonesia sebagai contoh apabila Pekan Olahraga Nasional (PON) di negara berkenaan yang merupakan temasya pelbagai sukan tanpa had umur dianjurkan setiap empat tahun.
Beliau berkata PON dijadikan platform bagi persatuan-persatuan sukan dan pihak berkuasa di Indonesia untuk memilih atlet terbaik mewakili negara itu di temasya sukan besar seperti Sukan SEA dan Sukan Asia.
"Bila ada temasya berprestij seperti ini, sudah tentu negeri-negeri bertanding akan membuat persediaan lebih rapi kerana mahukan kejayaan dan ini akan 'memaksa' mereka menyediakan atlet-atlet terbaik dari negeri tersebut.
"Jadi di sini kita juga akan dapat mengurangkan kebergantungan kepada usaha Persatuan Sukan Kebangsaan (PSK) sahaja untuk menyediakan program latihan kepada atlet kebangsaan dan perkongsian usaha ini akan membuka ruang pilihan atlet lebih besar dan sudah semestinya akan menjimatkan kos.
"Apa yang penting, tahap persaingan di peringkat tempatan akan melonjak sepertimana yang berlaku di SUKMA (peringkat umur remaja) ketika ini. Kalau perkara ini berjaya ia akan mengubah landskap sukan di negara ini," katanya.
-- BERNAMA