'Hanya Zii Jia sahaja yang tahu'

Sinar Harian
Jun 16, 2023 12:46 MYT
Roslin Hashim menyifatkan tindakan pemain berusia 25 tahun itu sebagai tempoh tenang selepas mengharungi kejohanan yang padat. - Gambar fail
KEPUTUSAN perseorangan lelaki negara, Lee Zii Jia untuk berehat sementara dari dunia badminton bukan sesuatu yang mengejutkan kepada yang bergelar pemain.
Sebaliknya, bekas pemain badminton nombor satu dunia, Roslin Hashim menyifatkan tindakan pemain berusia 25 tahun itu sebagai tempoh tenang selepas mengharungi kejohanan yang padat.
“Sejujurnya pada saya tindakan Zii Jia bukan sesuatu yang salah atau tergesa-gesa sebaliknya demi kebaikan tubuh badan yang hanya dia sahaja yang mengetahuinya.
“Seseorang pemain itu perlu ada tempoh tenang yang dapat membantu memulihkan kembali kondisi badan sebagai persiapan meningkatkan semula keupayaan diri mengharungi kejohanan lebih besar.
“Sebenarnya keadaan ini tidak hanya kepada Zii Jia, tetapi juga kepada semua para pemain skuad kebangsaan,” katanya kepada Sukan Sinar pada Khamis.
Zii Jia sebelum ini membuat keputusan mengejutkan apabila mengumumkan mahu berehat sementara selepas tewas dalam Terbuka Indonesia pada Rabu.
Pada pusingan pertama, bekas juara Asia itu tewas kepada pemain India, Lakshya Sen 17-21, 13-21 pada aksi di Stadium Istora Gelora Bung Karno, Jakarta.
Sebagai rekod, Terbuka Indonesia kejohanan keempat Zii Jia sejak saingan Piala Sudirman bulan lalu selepas menyertai Malaysia Masters dan Terbuka Singapura.
Dalam masa sama Roslin sekali lagi menasihati para pemain badminton untuk lebih bijak memilih perlawanan tertentu pada masa depan.
Mengakui bahawa para pemain teruja untuk memburu mata kelayakan ke Sukan Olimpik Paris 2024 pada ketika ini.
“Jika kita tengok semua masalah bermula dari Piala Sudirman tempoh hari. Kita sebagai manusia tidak boleh bandingkan keupayaan badan semua sama.
“Tapi kita kena fikir pada satu sudut lain yakni kondisi badan kita, saya bagi contoh kita percaya badan mampu mengharungi satu kejohanan ke satu kejohanan.
“Namun sebenarnya kita tidak mengetahui sebenarnya sedang memaksa mental sedang kepenatan sebenarnya secara psikologi mengganggu emosi, ini sebenarnya mengundang kepada prestasi tidak menentu seterusnya kecederaan pemain,” katanya. - Sinar Harian
#Lee Zii Jia #Roslin Hashim #berehat #kejohanan padat
;