Hanya tinggal dua beregu negara di separuh akhir Masters Malaysia

Bernama
Julai 8, 2022 06:15 MYT
Reaksi gembira beregu badminton lelaki Malaysia, Soh Wooi Yik dan Aaron Chia setelah berjaya menewaskan pemain Taiwan, Po-Li Wei dan Chang Ko-Chi. - Foto BERNAMA
KUALA LUMPUR: Hanya beregu wanita dan lelaki utama negara, Pearly Tan-M.Thinaah serta Aaron Chia-Soh Wooi Yik masing-masing akan menggalas harapan negara pada saingan separuh akhir Masters Malaysia, di sini, hari ini.
Selepas mengejutkan pilihan keempat, Yuki Fukushima-Siyaka Hirota dari Jepun, 21-14, 21-19 pada pusingan kedua semalam, beregu negara itu terus menampilkan aksi terpuji apabila menyingkirkan pasangan Indonesia, Apriyani Rahayu-Siti Fadia Silva Ramadhanti 21-18, 21-17 di suku akhir, semalam.
Beregu nombor ke-10 dunia itu hanya mengambil masa 42 minit untuk melakarkan kemenangan ke atas juara Terbuka Malaysia itu, minggu lalu, di Axiata Arena Bukit Jalil, untuk mara ke separuh akhir dengan dijadual bertemu pilihan pertama kejohanan, Chen Qing Chen-Jia Yi Fan.
Pasangan dari China itu turut mengesahkan slot separuh akhir dengan menyingkirkan beregu senegara, Du Yue-Li Wen Mei, 21-15, 21-13.
Pearly, ketika ditemui selepas perlawanan, berkata beliau gembira dengan kejayaan itu selepas kekal tenang terutama pada saat-saat genting dalam permainan.
Ditanya mengenai aksi pada Sabtu, Thinaah berkata mereka tidak akan memberi tekanan kepada diri sendiri dan cuba menikmati pertarungan menentang pemenang pingat perak Sukan Olimpik Tokyo 2020 itu.
Sementara itu, beregu nombor enam dunia, Aaron-Wooi Yik, bermula hambar menentang Chang Ko-Chi-Po Li-Wei dari Taiwan ketika lawan bukan pilihan itu memberikan tentangan sengit pada set pertama, setelah mendahului 16-13.
Bagaimanapun, beregu negara itu, mula memperkemaskan permainan sebelum menang set pembukaan, 23-21.
Aaron-Wooi Yik, selaku pilihan kelima kejohanan, melengkapkan kemenangan set kedua 21-16 untuk melangkah ke separuh akhir dengan berdepan naib juara Terbuka Malaysia, Fajar Alfian-Muhammad Rian Ardianto dari Indonesia.
Beregu Indonesia itu meneruskan kemaraan ke separuh akhir dengan mudah menumpaskan beregu muda negara, Wan Arif Wan Junaidi-Mhd Haikal Nazri, 21-10, 21-16.
Sementara itu, gandingan profesional negara, Goh Soon Huat-Shevon Lai gagal mengukir kemenangan sulung dalam tujuh pertemuan dengan pemenang pingat perak Sukan Olimpik Tokyo 2020, Zheng Si Wei-Huang Ya Qiong, dari China.
Soon Huat-Shevon tiada tandingan apabila tewas 10-21, 14-21 dalam masa 27 minit.
Gandingan China itu dijadual menentang wakil Taiwan, Yang Po Hsuan-Hu Ling Fang dalam memburu tiket final.
-- BERNAMA
#badminton #Masters Malaysia #Pearly Tan-M Thinaah #Aaron Chia-Soh Wooi Yik
;