Hanya 40 jenis sukan akan dipertimbangkan MOM
Astro Arena
April 1, 2016 21:12 MYT
April 1, 2016 21:12 MYT
MAJLIS Olimpik Malaysia (MOM) hanya akan mempertimbangkan penganjuran 40 jenis sukan maksimum bagi Sukan SEA 2017, susulan menerima 20 lagi rayuan daripada negara anggota Sukan SEA.
Ketika ini MOM sudah menyenarai pendek 34 jenis sukan merangkumi 342 acara dalam pemilihan awal senarai sukan bagi temasya itu.
Selain rayuan penambahan acara dalam sukan sedia ada MOM juga menerima rayuan tambahan 20 jenis sukan.
Antaranya judo, lawan pedang, triatlon dan bina badan yang anehnya hanya mendapat rayuan daripada Laos.
MOM akan menggunakan garis panduan sama, untuk menilai pemilihan tambahan ini.
"Fokus utama adalah mengambil kira aspek seperti fasiliti yang ada dan bajet. Di samping memastikan ini adalah penganjuran Sukan SEA yang terbaik bukan hanya untuk Malaysia tetapi juga buat semua negara yang bertanding," jelas Setiausaha Agung MOM Datuk Low Beng Choo.
Jawatankuasa MOM dijangka akan kembali bersidang pada pertengahan Mei sebelum mengusulkan cadangan kepada Kementerian Belia dan Sukan (KBS).
"Rayuan ini akan diambil kira oleh jawatankuasa sebelum membuat keputusan seperti sebelum ini," jelasnya.