Hannah yakin 'Pocket Rocketman' pamer yang terbaik di Paris

Bernama
Ogos 5, 2024 23:20 MYT
Hannah (kiri) berkata, beliau tidak pernah risau dengan kesungguhan dan kematangan yang ditunjukkan oleh Mohd Azizulhasni. - Foto fail
PARIS: Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh yakin atlet berbasikal trek negara, Datuk Mohd Azizulhasni Awang mampu mempamerkan aksi terbaiknya pada Sukan Olimpik Paris 2024.
Harapan Kontinjen Malaysia untuk merangkul emas pertama Sukan Olimpik kini, tertumpu kepada acara berbasikal trek selepas badminton menamatkan kempen dengan dua gangsa.
Hannah pada pertemuan bersama media Malaysia yang membuat liputan Olimpik Paris berkata, beliau tidak pernah risau dengan kesungguhan dan kematangan yang ditunjukkan oleh Mohd Azizulhasni, yang dikenali sebagai The Pocket Rocketman.
"Beliau telah menyatakan mahu buru emas itu, saya rasa tiada isu tekanan atau apa-apa, kerana dari mula lagi kita semua tahu mengenai hasratnya. Bagi pihak kami, kita akan bantu mana-mana atlet yang mempunyai hasrat itu.
"Menerusi RTG (Road to Gold), kita meningkatkan sokongan untuk beliau dan kali kita terbangkan pakar dari Institut Jantung Negara (IJN), Prof Datuk Seri Jeffrey Jeswant Dillon, untuk pantau keadaannya. Saya percaya dengan adanya kemudahan yang RTG bagi, Azizulhasni mampu lakukan versi terbaik beliau di Paris," katanya.
Hannah yang menghargai semangat juang yang dipamerkan skuad badminton, berharap agar atlet lain juga mempamerkan aksi terbaik mereka di Paris.
Beliau berkata, daripada maklum balas yang diterimanya, satu perubahan ketara yang dilihat pada atlet di bawah RTG ialah peningkatan dalam kekuatan mental pemain badminton.
Sementara itu, Jeffrey Jeswant memberi jaminan bahawa keadaan kesihatan Mohd Azizulhasni yang menjalani pembedahan jantung terbuka pada April 2022, berada pada tahap terbaik.
"Beliau telah pulih dengan sangat baik sejak pembedahan itu untuk capai sasaran dalam dua tahap - sebagai orang biasa yang menjalani pembedahan dan atlet elit. Sejak itu, tiada apa-apa masalah yang membimbangkan.
"Kita telah memantau beliau dan membuat ujian-ujian yang sepatutnya di IJN mahupun di Australia. Kita yakin beliau ada pada tahap kesihatan yang optimum untuk capai apa yang beliau sasarkan. Kita mahu memberi semangat kepada beliau dan semua atlet berbasikal supaya lakukan yang terbaik dan Insya-Allah akan berjaya," katanya.
Mohd Azizulhasni, 36, menjalani pembedahan akibat mengalami masalah jantung jarang ditemui dikenali sebagai arteri koronari kanan yang menyalur dari aorta di posisi janggal/ganjil (AAORCA).
Rabu ini Mohd Azizulhasni, pemenang pingat perak keirin lelaki di Tokyo 2020 dan Muhammad Shah Firdaus Sahrom akan membuka kempen dalam acara pecut, manakala Nurul Izzah Izzati Mohd Asri yang akan beraksi buat kali pertama di Olimpik, dalam keirin wanita.
- BERNAMA
#Sukan Olimpik Paris 2024 #Azizulhasni Awang #The Pocketman Rocketman #Hannah Yeoh