Hannah mahu pendekatan lebih segar terhadap sukan wushu
Bernama
September 25, 2023 10:50 MYT
September 25, 2023 10:50 MYT
HANGZHOU: Pendekatan dalam memperkasakan sukan wushu perlu melalui perubahan supaya kem negara dapat keluar daripada belenggu pencapaian yang tidak menentu di temasya dan kejohanan sukan antarabangsa.
Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh berkata berdasarkan maklumat yang diterima, negara-negara yang berjaya membawa pulang pingat acara wushu di pentas antarabangsa, rata-rata membuat pelaburan untuk mendapatkan jurulatih dari China.
Hannah secara peribadi berpendapat Malaysia tidak mempunyai pilihan selain perlu mengikut langkah yang sama, berani berbelanja besar untuk sukan.
"Kalau kita masih menggunakan SOP (prosedur operasi standard) yang sama, masih guna bajet yang sama dan kaedah serta formula sama, kita tidak akan dapat keputusan yang berlainan (daripada sekarang).
"Bila lihat Sukan SEA dan sekarang (Sukan Asia), saya lihat sendiri prestasi (atlet) bertanding dengan Sydney (Sydney Chin) saya tahu kaedah itu perlu diubah. Sydney dan atlet lain perlu lebih banyak kejohanan untuk hilangkan rasa takut dalam pertandingan," katanya.
Hannah berkata demikian pada majlis makan malam bersama petugas media tempatan yang membuat liputan perjalanan kontinjen negara pada Sukan Asia Hangzhou 2022 di sini, semalam.
Ketika ini, skuad wushu kebangsaan mempunyai seorang jurulatih sepenuh masa dari China, Zhang Yongsheng yang ditawarkan kontrak dua tahun bagi merangka program untuk menghadapi Sukan SEA 2025 dan 2027 serta edisi Sukan Asia seterusnya.
Pada masa sama, Hannah berkata perkara sama turut dibangkitkan pakar dari Nippon Sport Science University (NSSU) di Jepun yang turut tidak menggalakkan tekanan berlebihan diberikan kepada atlet apabila menyertai sesuatu kejohanan.
Semalam, nasib tidak menyebelahi Sydney selepas mengakhiri final acara taijiquan+taijijian wanita di posisi keempat dengan perbezaan 0.016 mata di belakang pemenang gangsa di Pusat Sukan Xiaoshan Guali, di sini.
"Sydney beritahu sasaran peribadi adalah untuk tidak buat kesilapan dan beliau tidak buat kesilapan bermaksud persembahannya sempurna, beliau ikut segala yang dipelajari tetapi bila masuk (bertanding) di negara lain, ada (atlet) yang lebih cemerlang. Sydney telah berikan yang terbaik," katanya.
-- BERNAMA