Hanis Nadiah digantung akibat komen berbaur perkauman
Afiezy Azaman
Februari 9, 2023 13:14 MYT
Februari 9, 2023 13:14 MYT
KUALA LUMPUR: Pemain skuad hoki wanita negara, Hanis Nadiah Onn digantung daripada menyertai mana-mana tugasan antarabangsa termasuk temasya Sukan SEA Cambodia 2023.
Ini selepas Hanis didapati bersalah kerana telah memuat naik ciapan di Twitter yang berbaur perkauman berkenaan konsert artis dan komposer dari India, AR Rahman pada 28 Januari lalu.
Menurut Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dalam satu kenyataan, keputusan itu dibuat hasil mesyuarat antara Jawatankuasa Siasatan Majlis Sukan Negara (MSN) dan Konfederasi Hoki Malaysia (KHM), pada 7 Februari lalu.
"Jawatankuasa mendapati Hanis telah bersalah sebagai individu kerana membuat kenyataan atau komen secara terbuka di akaun media sosial miliknya yang menjurus kepada menghina, mengutuk atau mencaci sesuatu pihak lain.
"Hanis juga didapati bersalah kerana ciapan komen yang boleh disalah erti atau menimbulkan salah faham, kegusaran ataupun kemarahan sesuatu pihak lain dan sebagai pemain hoki negara, Hanis didapati bersalah kerana telah membuat komen yang mengakibatkan kerosakan kepada imej pasukan dan KHM yang jelas melanggar kod etika KHM
"Pihak KHM akan menilai semula keputusan ini sekiranya Hanis mempamerkan perubahan sikap yang positif sepanjang tempoh tersebut," katanya dalam satyu kenyataan, pada Khamis.
Dalam mesyuarat itu, KBS berkata, Jawatankuasa Siasatan yang dipengerusikan secara bersama oleh Ketua Pengarah MSN, Datuk Ahmad Shapawi Ismail dan Presiden KHM, Datuk Seri Subahan Kamal telah memanggil Hanis untuk sesi tembual bagi membantu siasatan isu berkenaan.
Jelas KBS, dalam sesi berkenaan Hanis mengakui telah memuatnaik ciapan berbunyi ‘bau best la kat dalam tu’ berserta emoji tertawa sehingga mengeluarkan air mata kepada gambar dan video keadaan konsert.
"Hanis menegaskan tidak mempunyai sebarang sentimen perkauman semasa memuatnaikkan ciapan yang sekadar jenaka dan merujuk kepada keadaan stadium dipenuhi puluhan ribu penonton dan dia hanya menyedari wujudnya elemen berbaur perkauman setelah ditegur oleh netizen.
"Ekoran daripada teguran itu, Hanis telah memadam komen itu pada pagi 29 Januari lalu dan membuat permohonan maaf secara terbuka menerusi laman media sosialnya ekoran kekhilafan itu.
"Hanis mengakui amat kesal dengan keterlanjuran ciapannya dan menegaskan bahawa dia bukan seorang yang rasis dan membesar dalam masyarakat majmuk di Kluang, Johor serta memiliki ramai rakan berbangsa India, terutamanya sebagai atlet negara," katanya.
Sementara itu, KBS turut memaklumkan Jawatankuasa Siasatan juga telah memanggil jurulatih skuad hoki wanita negara, Mohd Nasihin Nubli Ibrahim yang menyatakan sebagai pemain utama pasukan, Hanis memiliki perwatakan merendah diri serta berdisiplin tinggi sepanjang latihan dan kejohanan.
Menurut KBS, Mohd Nasihin juga mengakui Hanis memiliki ramai rakan-rakan hoki di kalangan bangsa India dan mereka bergaul rapat tanpa masalah ekoran sifatnya yang mudah mesra dengan rakan sepasukan.
"Jawatankuasa berharap tindakan itu akan menjadi ingatan dan pengajaran berguna kepada Hanis serta semua atlet negara untuk sentiasa berhati-hati dengan sebarang hantaran ataupun ciapan di semua platform media sosial," ujarnya.