Hang-seo sesuai ganti Pan-gon

Sinar Harian
Julai 18, 2024 13:50 MYT
Hang-seo dilihat sebagai calon tepat yang memiliki aura selain telah membuktikan kemampuan membawa bekas pasukannya ke tahap yang lebih baik. - Sinar Harian
PERSATUAN Bolasepak Malaysia (FAM) perlu mencari jurulatih yang berkaliber dan mempunyai tahap yang setara atau lebih baik bagi menggantikan Kim Pan-gon.
Penganalisis sukan tempatan, Datuk Pekan Ramli berkata, Pan-gon telah meletakkan penanda aras yang cukup tinggi kepada penggantinya untuk mengendalikan skuad kebangsaan.
Menurut Pekan, beliau melihat bekas pengendali Vietnam, Park Hang-seo sebagai calon tepat yang memiliki aura selain telah membuktikan kemampuan membawa bekas pasukannya ke tahap yang lebih baik.
“Hang-seo mungkin boleh dipertimbangkan oleh FAM kerana dia bukan sahaja telah membina pasukan Vietnam ke arah yang lebih baik tetapi juga membina karakter pemain itu sendiri.
“Tugas jurulatih ini bukan sahaja melatih pemain di padang tetapi juga pembinaan karakter dari segi membangunkan disiplin serta semangat perjuangan.
“Mungkin ada yang kata karakter dibangunkan Hang-seo menyebabkan pemain Vietnam bermain dengan corak permainan 'robust' dan kasar, tetapi dalam bola sepak moden itulah antara karakter yang kita perlu ada untuk maju ke hadapan,” katanya kepada Sukan Sinar pada Rabu.
Pada Selasa, Pan-gon mengejutkan arena bola sepak negara apabila mengumumkan untuk tidak lagi membimbing Harimau Malaya berkuat kuasa serta merta.
Beberapa nama dikaitkan oleh peminat bola sepak dengan jawatan tersebut termasuk Hang-seo dan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin juga pernah menyatakan pengendali berusia 66 tahun itu sanggup meninggalkan Vietnam untuk melatih Harimau Malaya.
Hang-seo kini menjadi penasihat kelab Bac Ninh FC di Vietnam dan dilaporkan menolak beberapa tawaran daripada pasukan kebangsaan seperti India dan Kemboja.
Dalam pada itu, Pekan tidak menidakkan keupayaan jurulatih tempatan namun percaya persaingan di peringkat antarabangsa memerlukan pengendali yang cukup berwibawa.
“Kita bukan nak mengenepikan jurulatih kebangsaan atau jurulatih tempatan, tetapi apabila persaingan di peringkat antarabangsa, kita perlu jurulatih yang berkaliber dan berwibawa.
“Mereka kena faham corak permainan negara atau musuh yang akan dihadapi dan melihat lebih teknikal mengenai strategi yang akan diatur,” katanya.
*Artikel disiarkan di Sinar Harian
#pengganti Kim Pan-gon #jurulatih harimau malaya #Park Hang-seo #Persatuan Bola Sepak Malaysia #Pekan Ramli
;