Hampir 70 peratus mahu Ronaldo tinggalkan Real Madrid

Israr Khalid
Januari 20, 2018 23:02 MYT
Ronaldo dikatakan mahu berpindah kerana kecewa dengan Presiden Real Madrid, Fiorentino Perez. - REUTERS / Fail
LEBIH daripada dua pertiga penyokong Real Madrid mahu penjaring terbanyak kelab sepanjang zaman Cristiano Ronaldo mencari haluan baharu.
Ia merupakan hasil undian kira-kira 125,000 responden yang mana sekitar 67 peratus daripadanya mengundi ‘Tidak’ kepada soalan ‘Adakah anda mahu Ronaldo kekal?’ yang dibuat secara atas talian oleh sebuah akhbar Sepanyol, AS.
Baru-baru ini timbul khabar angin mengatakan Ronaldo, 32 tahun, mahu berpindah pada musim panas akan datang, mengambil kira permohonannya supaya dinaikkan gaji sekali ganda sehingga 50 juta Euro setahun.
Penerima lima kali anugerah Ballon d’Or itu juga difahamkan kecewa dengan beberapa janji yang gagal ditunaikan Presiden Real Madrid, Fiorentino Perez dan juga dikaitkan dengan kepulangan semula ke Old Trafford.
Sementara itu, Perez dikatakan sedia mendengar permohonan daripada Ronaldo berhubung masa depannya.
Sejak berhijrah dari Manchester United pada 2009, bintang Portugal itu telah menyumbat 422 gol daripada 418 perlawanan, dan membantu Los Blancos menjulang 15 kejuaraan termasuk tiga gelaran Juara Eropah.
Bagaimanapun, Ronaldo kelihatan seolah-olah gagal menyerlah musim ini, dengan hanya menjaringkan empat gol dalam La Liga, menyukarkan Real mengekalkan kejuaraan dengan kedudukan di tangga keempat ketika ini, 19 mata di belakang pendahulu, Barcelona.
#akhbar Sepanyol #AS #barcelona #Cristiano Ronaldo #Fiorentino Perez #La Liga #Los Blancos #Real Madrid #Ronaldo
;