Hamilton tetap berdegil, kena tegur guna telefon bimbit di sidang media
Astro Arena
Oktober 21, 2016 10:32 MYT
Oktober 21, 2016 10:32 MYT
PELUMBA Mercedes, Lewis Hamilton tetap berdegil apabila menggunakan telefon bimbit ketika sesi sidang media pelumba, menjelang GP Amerika Syarikat.
Penyandang juara, Hamilton, cetus kontroversi apabila menggunakan telefon bimbitnya ketika senario sama di GP Jepun, sebelum menjelaskan dia tidak berniat untuk bersikap 'kurang ajar'.
Selepas soalan pembukaan di Austin dijawab, Hamilton menyerahkan telefon kembali ke Romain Grosjean, yang kemudiannya mengambil gambar bersama Sebastian Vettel dan Nico Hulkenberg.
Ditanya sama ada dia masih berkeras untuk meneruskan tindakannya itu meskipun dikecam dua minggu lalu, Hamilton berkata:"Saya mengambil gambar, tunggu untuk semua pemandu menjawab soalan masing-masing. Saya mengambil gambar yang baik dan kamu semua turut termasuk."
Pemandu berusia 31 tahun itu menjelaskan tindakannya di Suzuka dengan mencadangkan agar format sidang media perlu ditingkatkan, dengan peminat Formula 1 dibenar mengajukan soalan.
Seorang wartawan memenuhi permintaan Hamilton dengan mengajukan soalan di laman sosial Twitter menerusi nama pengguna @BigOrangePaul, yang ingin tahu sama ada dia bercadang untuk bersara atau mengambil rehat dan apakah perasaannya jika melihat rakan sepasukan, Nico Rosberg merampas kejuaraan darinya musim ini.
Hamilton menjawab:"Terima kasih @BigOrangePaul -- Saya tidak bercadang untuk mengambil rehat panjang, jika saya berhenti bermakna saya akan berhenti.
"Jika Rosberg menang, saya akan terima perkara itu seperti seorang lelaki. Lihat saja juara dunia lain, kamu tidak boleh menang selamanya.
"Tetapi saya masih berada di dalam situasi untuk mengutip mata berharga. Saya akan lakukan apa yang terdaya, tiada yang mustahil.
"Tetapi jika keputusan sudah jelas, saya akan fokus untuk tahun hadapan. Hidup perlu diteruskan dan saya berharap akan kembali lebih kuat musim depan."
Hamilton ketika ini ketinggalan 33 mata di belakang Rosberg dengan hanya berbaki empat perlumbaan.