Hamilton optimis kedudukan lebih baik di GP China
Bernama
April 18, 2024 05:15 MYT
April 18, 2024 05:15 MYT
SHANGHAI: Juara dunia Formula Satu (F1) tujuh kali, Lewis Hamilton melihat potensi kedudukan yang lebih baik dalam saingan Grand Prix (GP) yang kembali ke China buat pertama kali dalam tempoh lima tahun, hujung minggu ini.
Pemandu Mercedes-AMG Petronas itu berkata, keyakinannya itu berdasarkan rekod baik sebelum ini di Litar Antarabangsa Shanghai dengan muncul sebagai pemandu dengan kemenangan terbanyak selepas mencapai enam kemenangan dalam GP China.
"Ini adalah litar yang saya sentiasa berjaya. Saya suka bersaing di litar ini kerana sesuai dengan gaya pemanduan saya yang agresif dan harap ia akan sama dengan generasi kereta ini.
"Saya mempunyai rekod prestasi baik di sini dan saya amat berharap ia konsisten pada hujung minggu ini. Permulaan musim ini tidak cukup baik. Saya berharap hujung minggu ini dapat bangkit lebih tinggi," katanya kepada Bernama dalam temu bual eksklusif selepas menyantuni sekumpulan pelajar sekolah rendah dan menengah menjelang GP China, di sini.
Hamilton merujuk kepada permulaan musim 2024 dengan hambar iaitu menamatkan tempat ketujuh dalam perlumbaan pembuka musim di Bahrain dan tempat kesembilan di GP Arab Saudi dan Jepun, sementara terpaksa bersara pada pusingan ke-19 di GP Australia.
F1 kembali ke China esok selepas lima tahun akibat pandemik COVID-19 dan sekatan negara itu, yang tidak dimulakan sehingga Disember 2022 manakala perlumbaan 2023 juga dibatalkan kerana 'kesukaran berterusan' susulan situasi COVID-19.
Pelumba Britain itu yang kini menghuni kedudukan kesembilan dengan 10 mata berbanding pendahulu Max Verstappen (77 mata), berkata jurang dua minggu sejak GP Jepun di Litar Suzuka pada 7 April lalu membantu pasukan meningkatkan persiapan untuk perlumbaan hujung minggu ini.
"Kami berdepan beberapa perlumbaan sukar dan tempoh dua minggu membolehkan kami untuk kembali semula dan cuba memberikan yang terbaik.
Ia juga memberikan kami masa untuk menganalisis kelebihan dan kelemahan dan apa yang terbaik boleh dilakukan. Sama ada perlumban di litar kering atau basah minggu ini...kami lebih bersedia. Saya harap ia kekal basah," katanya.
Sesi bersama pelajar berlangsung sempena kepulangan F1 ke Shanghai dan untuk memperingati ulang tahun ke-20 F1 GP China dengan perlumbaan tahun ini memperkenalkan format khas yang menggalakkan kerjasama pasukan dalam kalangan pelajar serta peluang untuk mereka terlibat dalam dialog tentang idea transformasi mereka dengan Hamilton.
Bertemakan "Memacu Ke Arah Masa Depan Hijau, Memperkasakan Suara Belia", sesi itu memperlihatkan hasil kerja tiga pasukan yang memenangi perlumbaan edisi tahun ini yang berpaksikan idea dan amalan lestari untuk masa depan selaras dengan salah satu impak sosial Petronas - Planting Tomorrow -yang memberi tumpuan kepada mendidik minda muda tentang kepentingan pemuliharaan biodiversiti dan kehidupan lestari.
Hamilton, yang berada di Kuala Lumpur baru-baru ini untuk program yang sama mempromosikan kepentingan pendidikan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM), menyifatkan kedua-dua pengalaman itu sebagai 'pembuka mata'.
"Dalam setiap pengalaman berbeza di setiap lokasi langsung saya bersama Petronas, saya sentiasa belajar lebih banyak di sepanjang jalan. Bukan sahaja apa yang perlu dilakukan, berapa banyak lagi kerja yang perlu dilakukan.
"Saya suka bahawa mereka bekerja dengan kanak-kanak. Saya melawat Universiti Teknologi Petronas untuk melihat beberapa projek yang mereka ada di sana dari segi biofuel yang telah mereka usahakan hari ini. Pelajar di sana telah bekerja dengan sangat gigih," katanya.
Hamilton menegaskan bahawa masyarakat perlu berbuat lebih banyak lagi untuk menggalakkan generasi muda menjadi inovatif.
Mengenai amalan kelestarian dalam F1 terutamanya penggunaan bahan api mampan dalam perlumbaan sukan itu, beliau berkata langkah itu adalah satu langkah besar ke arah yang betul.
"Tetapi ia tidak akan pernah mencukupi. Kita perlu terus mendorong teknologi dan melihat ke mana ia pergi seterusnya sehingga titik di mana kita tidak akan menggunakan bahan api fosil, saya harap, suatu hari nanti. Saya tahu Petronas banyak terlibat dalam teknologi juga untuk masa depan," kata Hamilton. - BERNAMA