Hamidin yakin Harimau Malaya mampu bawa pulang tiga mata
Bernama
September 2, 2019 17:07 MYT
September 2, 2019 17:07 MYT
Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) yakin skuad Harimau Malaya mampu meraih tiga mata sulung menentang Indonesia pada aksi pembukaan Kumpulan G pusingan kedua kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 di Stadium Gelora Bung Karno, Jakarta pada Khamis ini.
Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin berkata kemenangan tersebut akan hadir sekiranya barisan pemain negara memberi fokus sepenuhnya di dalam padang, tanpa menghiraukan tekanan hebat yang bakal diberikan penyokong skuad Garuda pada perlawanan berkenaan.
"Saya ada sedikit keyakinan (untuk menang) kerana rekod kita dengan Indonesia agak baik. Kita pernah menang (pingat emas) Sukan SEA (2011) dan (kejuaraan) Piala AFF Suzuki (2010) di Jakarta, jadi langsung tidak mustahil untuk pasukan kita menang.
"Kerana cita-cita kita hendak layak ke (pusingan akhir) Piala Asia 2023, sudah tentu kita perlu bermula dengan kutipan tiga mata," katanya pada sidang media selepas mengadakan majlis doa selamat bagi mendoakan keselamatan pemain dan penyokong skuad kebangsaan di kediamannya di sini, hari ini.
Turut hadir Timbalannya, Datuk Wira Mohd Yusoff Mahadi serta kesemua 24 pemain skuad Harimau Malaya dan Ketua Jurulatih, Tan Cheng Hoe selain staf FAM.
Mengulas lanjut, Hamidin yakin barisan pemain skuad Harimau Malaya sudah bersedia menyerap tekanan daripada penyokong skuad Garuda, sebagaimana yang dipamerkan skuad Harimau Malaya sewaktu menewaskan Indonesia untuk meraih kejuaraan Piala AFF Suzuki 2010 di Jakarta.
Ditanya mengenai soal keselamatan, Hamidin mendedahkan pemain skuad Harimau Malaya akan menggunakan bas untuk ke Stadium Gelora Bung Karno pada hari perlawanan, namun tidak menolak kemungkinan penggunaan kereta kebal 'Barracuda' sekiranya keadaan mendesak.
Beliau menegaskan beberapa anggota polis Malaysia sudah tiba di Jakarta hari ini, dan mereka akan bekerjasama dengan Polis Republik Indonesia (Polri) bagi menjamin keselamatan pemain dan penyokong Malaysia sepanjang berada di negara berkenaan.
Penggunaan 'Barracuda' oleh skuad bola sepak negara bukanlah perkara baharu memandangkan mereka pernah menggunakan kenderaan berkenaan selepas aksi final bola sepak Sukan SEA 2011.
Sementara itu, Setiausaha Agung FAM, Stuart Ramalingam berkata badan induk menjangkakan 300 sehingga 500 penyokong Malaysia akan hadir menyaksikan perlawanan berkenaan, dengan Persatuan Bola Sepak Seluruh Indonesia (PSSI) dilaporkan menyediakan 3,500 tiket kepada penyokong skuad negara.
"Dari segi penyediaan keselamatan, angka yang kita beri adalah antara 500 sehingga 1,000 penyokong kepada PSSI dan Polis Metropolitan Jakarta," kata Stuart.
Selepas aksi menentang Indonesia, Malaysia bakal melayan kunjungan Emiriah Arab Bersatu (UAE) di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 10 Sept ini.
-- BERNAMA
#FAM
#Gelora Bung Karno
#Hamidin Mohd Amin
#harimau Malaya
#Jakarta
#Persatuan Bola Sepak Malaysia
#Piala Dunia