Hamidin terkilan Pan-gon letak jawatan

Bernama
Julai 17, 2024 11:52 MYT
Hamidin (kiri) terkilan dengan peletakan jawatan secara mengejut Kim Pan-gon (kanan) sebagai ketua jurulatih Harimau Malaya, semalam. -Gambar fail/Bernama
KUALA LUMPUR: Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) Datuk Hamidin Mohd Amin terkilan dengan peletakan jawatan secara mengejut Kim Pan-gon sebagai ketua jurulatih Harimau Malaya, semalam.
Hamidin berkata ini kerana Pan-gon, yang mula mengemudi skuad kebangsaan sejak 2022, sebelum ini dengan penuh komited menyatakan mahu terus mengendalikan Harimau Malaya sehingga tamat kontraknya pada Disember 2025.
"Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Pan-gon kerana sepanjang dua setengah tahun beliau bersama kita, ranking Harimau Malaya telah meningkat baik dan Malaysia berjaya layak ke Piala Asia secara merit selepas 43 tahun. Sumbangan besar beliau tidak akan kita lupakan.
"Tapi jurulatih datang dan pergi. Itu hakikat yang perlu kita terima. Jadi kini walaupun Harimau Malaya tanpa Pan-gon, saya tetap mengharapkan agar rakyat Malaysia terus memberikan sokongan padu kepada Pau Marti Vicente dan skuad Harimau Malaya bermula dari Pestabola Merdeka 2024 pada September ini," katanya dalam satu hantaran di laman Facebook FAM hari ini.
Pan-gon mengumumkan peletakan jawatan sebagai ketua jurulatih skuad kebangsaan berkuat kuasa serta-merta dalam satu sidang media khas di Wisma FAM semalam atas faktor komitmen peribadi.
Sehubungan itu, FAM melantik pembantu jurulatih Vicente sebagai pemangku ketua jurulatih dibantu seorang lagi pembantu jurulatih E Elavarasan.
Menurut hantaran yang sama, Hamidin telah mengadakan perbincangan mengenai hala tuju dan perancangan skuad Harimau Malaya ketika bertemu Vicente di Mallorca, Sepanyol, hari ini.
Hamidin yang merupakan Ketua Kontinjen Malaysia ke Sukan Olimpik Paris 2024 ketika ini berada di Sepanyol bagi memantau skuad berbasikal trek negara yang sedang menjalani latihan di sana sebelum berangkat ke Paris.
"Kebetulan juga Pau Marti sedang pulang bercuti di Sepanyol dan saya terus menghubungi beliau untuk datang ke Mallorca hari ini bagi membincangkan serba sedikit hala tuju pasukan dan perancangan beliau selepas diumumkan sebagai pemangku ketua jurulatih kebangsaan bagi menggantikan Pan-gon.
"Biarpun kami berdua masih terkejut dengan keputusan drastik Pan-gon untuk meninggalkan pasukan, Pau Marti menyatakan bahawa beliau bersedia untuk menggalas tanggungjawab baharu ini dan mempunyai misi untuk terus memperkasakan skuad Harimau Malaya," katanya.
Beliau pada masa sama memberi jaminan akan terus memberikan sokongan dan perhatian penuh terhadap segala keperluan skuad Harimau Malaya dalam memastikan ranking Persekutuan Bolasepak Antarabangsa terus dapat diperbaiki, selain persiapan menghadapi Pestabola Merdeka 2024 dan Piala Persekutuan Bolasepak ASEAN (AFF) 2024, November ini.
Sementara itu, Vicente berkata beliau dan barisan kejurulatihan akan meneruskan apa yang dilaksanakan oleh Pan-gon bagi memastikan peningkatan positif skuad Harimau Malaya diteruskan secara konsisten.
Selain berterima kasih kepada Hamidin atas kepercayaan yang diberikan, Vicente optimis semua barisan kejurulatihan sedia ada akan terus bersama untuk membawa pasukan kebangsaan ke tahap tertinggi.
"Kita sentiasa bercakap soal konsistensi. Bukan untuk tempoh setahun dua. Tapi kita nak pasukan kita ini tampil dengan prestasi baik secara konsisten untuk tempoh selama mana yang boleh dan jangan sesekali kembali ke belakang," katanya.
Walaupun sedih dengan pengunduran Pan-gon, bekas pembantu jurulatih skuad Bawah 18 tahun (B-18) Barcelona itu juga amat menghargai jurulatih dari Korea Selatan itu yang bertanggungjawab meyakinkannya meninggalkan Sepanyol untuk mengendalikan Malaysia, sebelum ini.
Pan-gon memainkan peranan penting dalam meningkatkan prestasi pasukan negara di pentas antarabangsa termasuk membantu skuad negara mendaki ranking ke-130 pada November lepas, iaitu kedudukan terbaik Malaysia dalam tempoh 17 tahun.
Bekas Pengarah Teknikal Persatuan Bolasepak Korea turut berjaya membawa Harimau Malaya menjadi naib juara kejohanan Piala Raja Thai 2022 dan Pestabola Merdeka 2023.
-- BERNAMA
#Hamidin Mohd Amin #ketua jurulatih #harimau Malaya #Kim Pan-gon