Hamidin tarik diri tanding Naib Presiden AFC

Bernama
April 2, 2019 12:17 MYT
Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) Datuk Hamidin Mohd Amin (tengah) pada sidang media ketika melawat Akademi Mokhtar Dahari (AMD) di Gambang, hari ini. Turut hadir Timbalan Presiden FAM, Datuk Seri Subahan Kamal (kanan). - Foto Bernama
Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin menarik diri daripada bertanding untuk jawatan Naib Presiden Zon ASEAN Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC).
Hamidin sebaliknya mahu memberi tumpuan terhadap jawatan Ahli Jawatankuasa Eksekutif (Exco) AFC bagi penggal 2019-2023 pada kongres ke-29 badan itu yang akan berlangsung Sabtu ini di sini.
Hamidin yang memimpin FAM sejak Julai lalu, turut menyatakan sokongan padu kepada Presiden Persekutuan Bola Sepak Myanmar (MFF), Zaw Zaw untuk jawatan naib presiden tersebut, berbanding Naib Presiden Persekutuan Bola Sepak Vietnam (VFF), Dr Tran Quoc Tuan.
"Saya menghormati dan memandang tinggi Zaw Zaw. Setelah melakukan semua pertimbangan, saya memutuskan untuk tarik diri dari bertanding jawatan naib presiden walaupun mendapat pencalonan ahli gabungan dan sebaliknya memilih untuk bertanding merebut kerusi exco selepas mendapat sokongan.
"Apa yang menjadi keutamaan adalah jalinan persahabatan dan perpaduan dalam kalangan persatuan anggota AFF," katanya dalam kenyataan.
Sementara itu, kongres kali ini juga bakal menyaksikan Shaikh Salman Ebrahim Al Khalifa mempertahankan kerusi Presidennya tanpa bertanding apabila dua pencabarnya, Mohammad Khalfan Al Romaithi dari Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan Saoud Al Mohannadi dari Qatar menarik diri.
-- BERNAMA
#afc #Asia #FAM #Hamidin Mohd Amin #Naib Presiden AFC #Persatuan Bola Sepak Malaysia
;