Hamidin dipilih Ahli Majlis FIFA

Bernama
Februari 1, 2023 18:48 MYT
Hamidin antara tujuh calon yang bertanding bagi mengisi lima kerusi wakil lelaki Asia dalam Majlis FIFA pada Kongres AFC ke-33 itu bermula 10 pagi (3 petang waktu Malaysia) ini di Pusat Konvensyen Gulf di Manama.- Fail ASTRO AWANI
MANAMA: Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) Datuk Hamidin Mohd Amin diumumkan antara tujuh Ahli Jawatankuasa Eksekutif Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) mewakili Asia, untuk penggal 2023-2027.
Hamidin dipilih untuk mengisi jawatan itu semasa kongres Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) ke-33 yang diadakan di Manama, Bahrain pada Rabu.
Untuk rekod, Hamidin merupakan rakyat Malaysia keempat yang dilantik selepas Naib Presiden FAM, Lee Kee Siong menjadi individu pertama pada tahun 1960 disusuli Tan Sri Hamzah Abu Samah yang menang tanpa tanding di Kongres AFC untuk jawatan tersebut pada tahun 1972 selepas dua calon lain menarik diri dan terbaharu selepas itu adalah Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri-ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang memenangi kerusi tersebut pada Kongres AFC di Bahrain pada 2015.
Hamidin antara tujuh calon yang bertanding bagi mengisi lima kerusi wakil lelaki Asia dalam Majlis FIFA pada Kongres AFC ke-33 itu bermula 10 pagi (3 petang waktu Malaysia) ini di Pusat Konvensyen Gulf di Manama.
Beliau dicabar penyandang jawatan Du Zhaocai dari China, Kohzo Tashima (Jepun) dan Mariano Areneta Jr. (Filipina), selain Mong Gyu Chung (Korea Selatan), Sheikh Hamad Khalifa A. A. Al Thani (Qatar) dan Yasser H. Almisehal (Arab Saudi).
Presiden AFC, Shaikh Salman Ebrahim Al Khalifa mengekalkan jawatan tertinggi berkenaan tanpa bertanding bagi tempoh empat tahun lagi.
#Hamidin Mohd Amin #Arab Saudi #FIFA #FAM
;