Hamidin, Collina bincang penggunaan VAR dalam bola sepak tempatan
Bernama
Mac 17, 2023 20:10 MYT
Mac 17, 2023 20:10 MYT
KUALA LUMPUR: Penggunaan video bantuan pengadil (VAR) adalah antara perkara penting dibincangkan Presiden Bolasepak Malaysia (FAM) Datuk Hamidin Mohd Amin dalam pertemuannya dengan Pengerusi Jawatankuasa Pengadil Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA), Pierluigi Collina di Kongres FIFA ke-73 di Kigali, Rwanda semalam.
Menurut FAM dalam satu kenyataan hari ini, Collina mencadangkan kepada Hamidin sama ada untuk menggunakan VAR Sepenuhnya atau VAR Ringan dalam kancah bola sepak tempatan.
"Collina menjelaskan ada dua jenis VAR yang boleh menjadi pilihan kita iaitu VAR Sepenuhnya yang dilengkapi dengan minumum lapan kamera atau VAR Ringan yang kurang daripada lapan kamera. Meskipun, Collina mencadangkan penggunaan VAR Sepenuhnya namun beliau menjelaskan VAR Ringan boleh juga digunakan untuk peringkat permulaan ekoran harganya yang lebih murah 50 peratus.
Namun Collina mengingatkan kualiti pastinya jauh berbeza dengan VAR Sepenuhnya jika memilih untuk menggunakan VAR Ringan," kata Hamidin yang menghadiri kongres itu sebagai Ahli Majlis FIFA dalam kenyataan itu.
Katanya susulan cadangan di Kigali itu, beliau berkata pihaknya akan mengadakan perbincangan lanjut dengan Liga Bolasepak Malaysia (MFL) bersama unit Pengadil FIFA mengenai penggunaan VAR untuk tindakan selanjutnya.
Dalam pada itu, Hamidin sebagai ahli Majlis FIFA turut bertemu dengan beberapa pemimpin bola sepak antarabangsa serta berbincang berkenaan pelan menghantar pemain negara berkualiti yang berminat berkelana dengan kelab luar negara dan perlawanan antarabangsa Tier 1 FIFA dalam perjumpaan itu.
"Kita juga membincangkan secara terperinci dengan UAE, Arab Saudi, Qatar, Jepun dan Korea Selatan mengenai pemain negara yang dilihat berkualiti dan berminat untuk dihantar bermain dengan liga negara terbabit," katanya.
Bersempena kongres itu, Hamidin turut menghadiri Mesyuarat Majlis FIFA pada Selasa (14 Mac) bersama dengan beberapa nama besar dalam arena bola sepak dunia antaranya Presiden Persatuan Bola Sepak Emiriah Arab Bersatu Sheikh Rashid Al Nuaimi; Presiden Persekutuan Bolasepak Arab Saudi, Yasser Al Misehal dan Presiden Persatuan Bolasepak Jepun Kohzo Tashima.
Ahli Majlis FIFA lain yang menghadiri mesyuarat itu ialah Presiden Persatuan Bolasepak Montenegro, Dejan Savicevic; Presiden Persatuan Bolasepak Cyprus, George Koumas; Presiden Persatuan Bolasepak Fiji, Rajesh Patel; Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Qatar, Mansoor al-Ansari dan Ahli Majlis FIFA daripada Konfederasi Bolasepak Afrika (CAF) yang juga ahli Lembaga Pengarah Yayasan FIFA, Isha Johansen.
-- BERNAMA