Hamidin antara tujuh bertanding Ahli Majlis FIFA
Bernama
Februari 1, 2023 13:56 MYT
Februari 1, 2023 13:56 MYT
MANAMA : Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) Datuk Hamidin Mohd Amin bersaing merebut kerusi Ahli Majlis Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) bagi penggal 2023-2027 pada Kongres Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) di sini hari ini.
Hamidin antara tujuh calon yang bertanding bagi mengisi lima kerusi wakil lelaki Asia dalam Majlis FIFA pada Kongres AFC ke-33 itu bermula 10 pagi (3 petang waktu Malaysia) ini di Pusat Konvensyen Gulf, di sini.
Beliau akan dicabar penyandang jawatan Du Zhaocai dari China, Kohzo Tashima (Jepun) dan Mariano Areneta Jr. (Filipina), selain Mong Gyu Chung (Korea Selatan), Sheikh Hamad Khalifa A. A. Al Thani (Qatar) dan Yasser H. Almisehal (Arab Saudi).
Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menjadi wakil Malaysia pertama dalam Majlis FIFA susulan kemenangan baginda pada Kongres 2015, manakala Allahyarham Tan Sri Hamzah Abu Samah pernah berkhidmat sebagai naib presiden FIFA dari 1982 hingga 1990.
Sementara itu, Presiden AFC Shaikh Salman Ebrahim Al Khalifa mengekalkan jawatan tertinggi berkenaan tanpa bertanding bagi tempoh empat tahun lagi.
Kongres itu juga dijangka memutuskan negara tuan rumah Piala Asia 2027, dengan Arab Saudi menjadi satu-satunya pembida yang tinggal selepas penarikan diri India dan Qatar, yang mengambil hak penganjuran bagi edisi 2023 menggantikan China.
-- BERNAMA