Hamidin akui kecewa dengan prestasi skuad B22 di Kemboja

Sinar Harian
Mei 18, 2023 18:15 MYT
FAM menunggu laporan yang akan dikemukakan oleh pengendali B-22 negara, E Elavarasan dan barisan teknikal pasukan berhubung prestasi pasukan negara itu. - Fail/FAM
PRESIDEN Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin mengakui kecewa dengan prestasi yang dipamerkan skuad bola sepak Bawah 22 Tahun (B-22) di Sukan SEA Kemboja yang berakhir pada Rabu.
Menurutnya, FAM akan menunggu laporan yang akan dikemukakan oleh pengendali B-22 negara, E Elavarasan dan barisan teknikal pasukan berhubung prestasi pasukan dan kegagalan memenuhi sasaran layak ke perlawanan akhir di temasya dwitahunan itu.
"Saya dan FAM dah tentu kecewa. Namun, kalau kita lihat ini kali pertama Elavarasan membawa pasukan B-22 ke Sukan SEA.
"Jadi, kita perlu melihat laporan daripada beliau dan barisan teknikal untuk pihak Pengarah Teknikal FAM, Scott O'Donell, pengendali Harimau Malaya, Kim Pan-gon membuat penilaian," katanya.
Beliau berkata demikian kepada media dalam Majlis Hari Raya FAM, Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) dan Liga Bola Sepak Amatur (AFL) di Wisma FAM, Kelana Jaya pada Khamis.
Skuad B-22 negara gagal memenuhi sasaran untuk layak ke perlawanan akhir Sukan SEA Kemboja selepas terkandas di saingan peringkat kumpulan.
Harimau Muda menamatkan saingan di tempat ketiga dalam Kumpulan B dengan jumlah enam mata daripada empat perlawanan di belakang Thailand dan Vietnam.
Untuk rekod, kali terakhir Malaysia memenangi pingat untuk bola sepak Sukan SEA ialah pada edisi 2017 di Kuala Lumpur iaitu perak manakala kali terakhir meraih emas adalah di Indonesia pada 2011.
Sementara itu, Hamidin menjelaskan laporan daripada Elavarasan dan barisan teknikal pasukan akan siap pada minggu depan dan sebarang langkah akan diambil selepas menilai laporan tersebut.
"Kita akan tengok secara keseluruhan laporan tersebut. Coach Elavarasan ada dua lagi kejohanan B-23 iaitu AFF B-23 dan juga Kelayakan AFC yang akan diadakan minggu depan.
"Selain itu skuad negara juga akan ada kelayakan pusingan akhir ke Sukan Olimpik pada bulan September ini," katanya. -- Sinar Harian
#Sukan SEA #skuad bawah 22 tahun #Hamidin Mohd Amin #FAM
;