Hairan 'orang luar' dipilih - Bekas penjaga gol Perlis
Astro Awani
Februari 22, 2019 10:40 MYT
Februari 22, 2019 10:40 MYT
Bukan hanya rakyat Perlis yang berdukacita dengan berita penyingkiran skuad bola sepak negeri dari Liga Malaysia musim ini, malah legenda Singa Utara, V Marimuthu Pilay tidak terkecuali.
Bekas pemain Persatuan Bola Sepak Perlis (PFA) yang lebih dikenali sebagai Aya ini berkata, sejak semalam, dia dan rakan seangkatannya turut berkongsi kesedihan yang sama.
Bekas penjaga gol yang pernah bersama pasukan itu mulai 1976 hingga 1992 merupakan rakan seangkatan dengan seorang lagi legenda, Bakri Ibni.
Menurutnya, pendapat mereka lebih menjurus kepada kesilapan dalam percaturan pengurusan baharu yang menyebabkan mereka tewas dalam mempertahankan maruah PFA yang menjadi kebanggaan seluruh rakyat Perlis.
Katanya, mereka turut kesal apabila Presiden PFA Datuk Ahmad Amizal Shaifit Ahmad Rafie dikhabarkan tidak menghormati bekas pemain yang pernah mengharumkan nama Perlis.
Lebih dari itu, Aya meluahkan rasa hairan, bagaimana "orang luar" yang tidak diketahui latar belakang, dipilih sebagai presiden dengan menewaskan Menteri Besar Datuk Seri Azlan Man dengan lima undian. Azlan cuma memperoleh satu undian.
"Kalau dia betul-betul hendak, betul-betul semangat dia untuk bola sepak, dia ada cara lain. Dia boleh datang berbincang. Dia boleh panggil orang lama-lama untuk berbincang.
"Ataupun (bincang dengan) orang yang buat urusan bola sepak, orang dulu yang boleh majukan bola sepak. Panggillah untuk berbincang. Atau, pergilah jumpa kerajaan negeri dan Majlis Sukan Negeri (MSN).
"Sebaliknya, kerajaan negeri pun dia tak pergi jumpa, MSN pun dia tak jumpa. Yang dia buat, datang melalui exco-exco negeri Perlis. Dia datang dengan mereka. Mereka yang lantik dia," kata Marimuthu.
Entah kenapa, katanya, sejak awal lagi, hatinya terdetik bahawa skuad itu akan tersungkur awal, sebelum sampai ke garisan penamat.
Tambahnya, dia tidak dapat menahan emosi apabila maruah Singa Utara berakhir dengan rekod paling buruk dalam sejarah bola sepak negara.
"Masa susah-susah Perlis dulu pun tak pernah tersingkir. Ini sejarah dalam bola sepak, satu negeri kena singkir. Malu. Malu. Malu. Saya sebagai rakyat dan anak jati Perlis, rasa malu. Apa lagi, Raja kita.
"Raja kita rasa macamana? Dia tak beritahu, dia tak luah pun, dia akan berasa. Ini negeri dia, negeri tuanku," kata Aya.
Pada Rabu, Perlis diumumkan tersingkir untuk beraksi di pentas Liga Malaysia 2019 selepas diputuskan Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) menerusi ahli lembaga pengarahnya yang berkuat kuasa serta merta.
#Ahmad Amizal Shaifit Ahmad Rafie
#bola sepak
#legenda
#Menteri Besar
#orang luar
#pengurusan baharu
#Perlis
#presiden
#V Marimuthu Pilay