Haiqal Hanafi tetap layak ke Sukan SEA

Bernama
Mac 7, 2022 04:49 MYT
Muhammad Haiqal akan ke Vietnam di bawah kategori B. - Foto Instagram/haiqallhanafii
KUALA LUMPUR: Jaguh pecut kebangsaan Muhammad Haiqal Hanafi boleh menarik nafas lega apabila namanya disenaraikan pada saat akhir oleh Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM), untuk menyertai Sukan SEA Hanoi di Vietnam, Mei depan.
Presiden KOM Datuk SM Muthu, bagaimanapun berkata Muhammad Haiqal yang akan ke Vietnam di bawah kategori B (kos dipulangkan jika memenangi pingat) tidak akan mempertahankan emas acara 100 meter (m) dimenanginya pada edisi 2019 di Filipina, selepas pihaknya memutuskan atlet Negeri Sembilan itu untuk menyertai kuartet 4x100m lelaki di Vietnam nanti.
"Muhammad Haiqal akan berlari bersama Muhammad Arsyad Md Saat, Russel Alexander Nasir Taib dan Muhammad Azeem Mohd Fahmi bagi acara 4x100m lelaki, di Sukan SEA Hanoi.
"Muhammad Arsyad dan Russel Alexander pula akan menyertai acara 100m lelaki," katanya ketika dihubungi pada Isnin.
Muhammad Haiqal pada mulanya gagal melepasi had kelayakan secara merit ke Sukan SEA, walaupun muncul raja pecut pada Kejohanan Olahraga Terbuka Malaysia ke-97, Sabtu lepas (5 Mac).
Pelari berusia 22 tahun itu mencatat 10.58 saat (s), kurang 0.06s daripada catatan masa yang diperlukan untuk layak secara merit bertanding di bawah kategori A (kos ditanggung sepenuhnya), pada temasya dwitahunan itu iaitu 10.52s.
Dalam pada itu, beliau memaklumkan jaguh 110m lari berpagar lelaki kebangsaan Rayzam Shah Wan Sofian, merupakan atlet yang turut dipertimbangkan beraksi dalam kategori B walaupun tidak melepasi had kelayakan ditetapkan sebelum ini.
Rayzam Shah gagal melepasi catatan masa 13.99s ditetapkan selepas hanya mencatat 14.19s pada Kejohanan Olahraga Terbuka Malaysia, juga pada Sabtu lepas.
Muthu berkata Muhammad Haiqal dan Rayzam Shah merupakan antara sembilan atlet lelaki olahraga yang bertanding di bawah kategori B, manakala sembilan lagi atlet wanita turut tersenarai di bawah kategori sama.
"Seramai 14 atlet lelaki serta empat atlet wanita layak bertanding bagi kategori A, dan ini menjadikan jumlah keseluruhan senarai atlet termasuk kategori B diserahkan KOM kepada Majlis Olimpik Malaysia (MOM) esok adalah 36 orang," jelasnya.
Sukan SEA Hanoi akan berlangsung dari 12 hingga 23 Mei ini.
-- BERNAMA
#Muhammad Haiqal Hanafi #Sukan SEA #kom #Vietnam
;