Hafizuddin tamat kemarau 14 tahun emas petanque negara
Astro Arena
Jun 8, 2015 18:00 MYT
Jun 8, 2015 18:00 MYT
Muhd Hafizuddin Mat Daud menamatkan kemarau 14 tahun negara dengan meraih pingat emas dalam acara petanque bagi kategori single lelaki di Padang hari ini.
Muhd Hafizuddin, 23, melakar sejarah apabila muncul pemain petanque pertama meraih pingat emas pada temasya dwitahunan itu sejak acara itu mula dipertandingkan pada 2001 di Malaysia.
Beliau mengalahkan pemain pilihan Thong Chhoeun dari Kemboja dengan 13-6 pagi ini. Pingat gangsa dikongsi Ngo Ron dari Vietnam bersama Keokannika Phoudthala dari Thailand.
Pada penentuan final itu Muhd Hafizuddin mendapat tepukan gemuruh daripada rakan sepasukan serta para penonton.
"Saya tidak sangka dapat melakar sejarah meraih pingat emas. Sejak 2001 lagi pasukan negara tidak pernah sumbang pingat emas dalam petanque. Kemenangan ini sangat bermakna buat saya.
"Terima kasih kepada jurulatih yang tidak putus asa mendidik saya sehingga mencapai sasaran pingat emas di Sukan SEA. Pencabar saya hari ini memang kuat.
Apabila saya telah mendahului dari awal perlawanan, keyakinan saya semakin bertambah," kata Muhd Hafizuddin yang sedikit beremosi meraikan kejayaannya itu.
Pemuda berasal dari Kelantan ini sebelum ini hanya meraih pingat gangsa dalam dua kali penampilan iaitu di Palembang pada 2011 dan Myanmar 2013.
Katanya beliau berharap kemenangan itu menambah semangat beliau dan rakan sepasukan yang lain untuk menambah pingat emas dalam acara double dan triple.