Hafizh Syahrin umum perkembangan baharu bersama JDT Racing Team minggu depan
Bernama
November 10, 2023 07:15 MYT
November 10, 2023 07:15 MYT
SEPANG: Pelumba negara. Hafizh Syahrin Abdullah, bakal mengumumkan perkembangan baharunya bersama pasukan Johor Darul Ta'zim (JDT) Racing Team, minggu depan.
Hafizh Syahrin berkata, buat masa ini, pihaknya masih dalam proses memuktamadkan masa depannya bersama JDT Racing Team, termasuk perancangan bagi mengharungi Kejuaraan Motosikal Asia (ARRC) 2024.
"Berkemungkinan besar minggu hadapan akan umum perkembangan baharu dari segi projek (bersama JDT Racing Team).
"Besar atau tidak (projek) kita tunggu dahulu. Saya tahu ramai media tunggu perkembangan saya dan mereka," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui selepas majlis pelancaran produk baharu oleh syarikat kelengkapan motosikal terkenal tempatan, Racing Boy (RCB) bersempena Kejuaraan Motosikal Dunia (MotoGP) Grand Prix (GP) Malaysia 2023 di Litar Antarabangsa Sepang (SIC), di sini, pada Jumaat.
Menyedari JDT sememangnya satu jenama sukan tempatan yang berjaya dalam negara, Hafizh Syahrin berkata beliau tidak mahu mensia-siakan peluang tersebut dengan 'mengaum' pada Kejuaraan Motosikal Asia (ARRC) 2024.
Bulan lepas, JDT mengesahkan akan terus melebarkan sayap dengan menceburi sukan permotoran bersama Hafizh Syahrin, bermula tahun depan.
Selain bola sepak, JDT turut menceburi sukan lain seperti futsal, polo, tinju dan hoki ais.
Hafizh Syahrin pernah beraksi selama lapan musim dalam saingan MotoGP termasuk untuk kelas perdana pada 2018 dan 2019, sejak menjadi pelumba sepenuh masa pada 2014.
Dalam pada itu, pelumba berusia 29 tahun itu berharap agar dua wakil wild card Moto2 negara, Azroy Hakeem Anuar dan Helmi Anuar, tidak membiarkan diri mereka tertinggal terlalu jauh di belakang pemenang pada hari perlumbaan Ahad ini.
Pelumba kelahiran Selangor itu mahu melihat kedua-dua pelumba yang mewakili Petronas MIE Racing RW, menamatkan saingan dengan jurang masa di bawah satu minit di belakang sang juara.
"Saya just harap mereka kekal di atas motosikal sehingga abis perlumbaan dan dapat perbezaan masa di bawah satu minit dengan pemenang," katanya. - BERNAMA