Hafizh Syahrin tak pulang tangan kosong

Sinar Harian
Februari 25, 2023 06:30 MYT
Aksi Hafizh Syahrin (depan) ketika mengharungi Perlumbaan 1 WSBK di Litar Phillip Island pada Sabtu. - Foto Sinar Harian
PELUMBA negara, Hafizh Syahrin Abdullah meraih satu mata berharga selepas menduduki tempat ke-15 pada Perlumbaan 1 Kejuaraan Superbike Dunia (WSBK) di Litar Phillip Island pada Sabtu.
Berlumba dalam keadaan litar basah, Hafizh Syahrin yang menggalas cabaran pasukan Petronas MIE Racing Honda masih mampu mengawal jentera Honda CBR1000 RR-R dengan baik di litar sepanjang 4.445 kilometer (km) sepusingan itu.
"Saya agak bertuah kerana berjaya menamatkan perlumbaan memandangkan ini kali pertama saya beraksi dalam keadaan litar yang basah sepenuhnya.
"Saya mengambil perlumbaan ini secara berhati-hati dan berjaya menamatkan perlumbaan. Apapun saya kena lebih menunjukkan peningkatan terutama terhadap kelajuan untuk lebih rapat dengan pelumba lain.
"Sekiranya cuaca esok (Ahad) masih sama seperti hari ini (Sabtu), ia akan menjadi lebih menarik dan kita boleh mempamerkan sesuatu yang lebih lagi," katanya.
Hafizh Syahrin kini menduduki tempat ke-15 keseluruhan carta pelumba kelas WorldSBK dan ketujuh dalam carta pelumba 'Independent'.
Pada Ahad, Hafizh Syahrin akan menyertai dua lagi perlumbaan - Superpole dan Perlumbaan 2 WSBK. - Sinar Harian
#Hafizh Syahrin #pelumba negara #Perlumbaan 1 WSBK #Kejuaraan Superbike Dunia
;