Hafizh Syahrin sertai NTS RW Racing GP untuk musim 2021

Bernama
November 8, 2020 20:34 MYT
Pengurus Pasukan NTS RW Racing GP Jarno Janssen berkata pasukan itu gembira dan bangga kerana berjaya mendapatkan khidmat Hafizh Syahri.
KUALA LUMPUR: Pelumba Moto2 Malaysia Hafizh Syahrin Abdullah akan mewakili NTS RM Racing GP dalam Kejohanan Grand Prix Motosikal Dunia 2021.
Pelumba berusia 26 tahun itu yang kembali dalam kelas Moto2 bersama pasukan Angel Nieto tahun ini selepas dua musim beraksi dalam kelas premier (MotoGP) akan menyertai rakan sepasukan baharu, pelumba berumur 16 tahun dari Belgium, Barry Baltus.
"Saya gembira kekal dalam Moto2 dan menyertai NTS RW Racing GP. Saya tahu usaha yang diperlukan untuk membangunkan sebuah jentera baharu tetapi saya percaya dengan projek ini. NTS dan pasukan ini telah banyak membuat penambahbaikan jentera ini dalam masa yang agak singkat, satu demi satu.
"Saya berharap dengan pengalaman dan maklum balas saya, kami akan membuat perubahan besar. Saya yakin kami boleh menghasilkan sesuatu yang lebih baik secara bersama. Saya tidak beraksi pada tahap terbaik saya musim ini kerana itu saya sungguh gembira dan amat berterima kasih dengan keyakinan NTS RW Racing GP terhadap saya," kata Hafizh Syahrin dalam satu kenyataan yang dikeluarkan pasukan itu hari ini.
Sementara itu, Pengurus Pasukan NTS RW Racing GP Jarno Janssen berkata pasukan itu gembira dan bangga kerana berjaya mendapatkan khidmat Hafizh Syahrin yang bukan sahaja berpengalaman tetapi juga seorang pelumba berbakat.
"Kami semakin baik dan kukuh setiap minggu tetapi kami masih lagi dalam memproses menbangunkan jentera itu. Input dan maklum balas daripada seorang pelumba seperti Hafizh adalah amat penting dalam proses ini.
NTS RW Racing GP akan memulakan musim baharu dengan ujian persendirian pada 26 dan 27 Nov di Jerez.
-- BERNAMA
#Moto2 Malaysia #Hafizh Syahrin Abdullah #NTS RM Racing GP #Kejohanan Grand Prix #MotoGP #Angel Nieto
;