Hafizh Syahrin semakin 'menjiwai' jentera baharunya

Bernama
Februari 29, 2024 17:06 MYT
Hafizh Syahrin telah mempamerkan aksi cemerlang dengan jentera berasaskan Ducati Panigale V4R yang mencapai kelajuan sehingga 313 km/j. - Bernama
KUALA LUMPUR: Pelumba Johor Darul Ta'zim (JDT) Racing Team, Hafizh Syahrin Abdullah kini semakin serasi dengan jentera baharunya bagi mengharungi Kejuaraan Motosikal Asia (ARRC) musim 2024.
Tinjauan Bernama pada sesi latihan persendirian di Litar Antarabangsa Sepang baru-baru ini mendapati pelumba berusia 29 tahun itu telah mempamerkan aksi cemerlang dengan jentera berasaskan Ducati Panigale V4R yang mencapai kelajuan sehingga 313 km/j.
"Saya tidak pernah bawa V4. Sebelum ini, saya hanya bawa jentera yang menggunakan inline engine... tapi dengan V4 ini perasaan lain, kita jadi sebahagian dari jentera itu," katanya.
JDT Racing Team bersama Hafizh Syahrin bakal memberi saingan pertamanya dalam ARRC 2024 dalam kelas Asian Superbike 1000cc (ASB 1000) di Litar Antarabangsa Chang, Buriram, Thailand pada 15 hingga 17 Mac ini.
Hafizh Syahrin yang buat kali pertamanya menggunakan model terkini jentera buatan Itali itu bagaimanapun optimis mampu memberikan saingan terbaik dan menyasarkan untuk muncul juara keseluruhan musim ini.
"Pengalaman sepanjang berada di Kejuaraan Motosikal Dunia (MotoGP) sebelum ini akan saya manfaatkan. ARRC ini bukan kata mudah bagi saya, ia tetap ada cabarannya tersendiri.
"Biarpun begitu, seperti mana kita tahu JDT sentiasa beri yang terbaik kepada atlet mereka. Saya yakin dengan pasukan JDT Racing Team ini kita mampu berada di podium dan beri saingan di tiga tangga teratas," katanya.
Oktober lepas, JDT melebarkan sayap dengan menceburi sukan permotoran bersama Hafizh Syahrin yang merupakan wakil Malaysia pertama bersaing dalam MotoGP pada 2018 dan menjadikan ARRC musim 2024 sebagai projek perintis.
Ketika ditanya tentang persediaannya bagi mengharungi ARRC itu, Hafizh Syahrin berkata beliau telah mempersiapkan diri dari segi mental dan fizikal memandangkan pusingan pertama membuka tirai pada bulan puasa.
"Kita tahu pada awal tahun cuaca di Thailand agak panas, jadi kita perlu bersedia kerana keadaan cuaca di sana lebih kering berbanding Malaysia. Kita perlu sesuaikan dengan cepat dan saya tetap akan lakukan yang terbaik walaupun di bulan puasa," katanya.
Kejuaraan ARRC 2024 melibatkan enam pusingan 12 perlumbaan dengan penglibatan negara seperti Jepun, China, Thailand, Indonesia dan Malaysia.
-- BERNAMA
#Hafizh Syahrin #jentera baharu #Kejuaraan Motosikal Asia #Ducati Panigale V4R #ARRC
;