Hafizh Syahrin sasar kelompok 10 terbaik MotoGP 2018
Bernama
Mac 20, 2018 05:44 MYT
Mac 20, 2018 05:44 MYT
Biarpun masih terlalu awal untuk meletakkan sasaran, pelumba MotoGP negara, Hafizh Syahrin Abdullah percaya dengan kemampuannya berada dalam kelompok 10 pelumba terbaik dalam Kejuaraan Motosikal Dunia (MotoGP) 2018.
Pelumba Yamaha Monster Tech3 itu berkata sasaran itu mungkin sukar diraih dalam masa terdekat, namun beliau akan berusaha keras untuk segera menyesuaikan diri dengan jentera Yamaha M1 termasuk memahami setiap litar perlumbaan musim ini.
"Saya perlu belajar dengan cepat, faham karakter motosikal. Saya percaya peluang 10 terbaik itu ada dalam tangan, kalau dapat raih podium satu bonus untuk saya. Saya tidak akan berhenti mencuba.
"Banyak perkara baru saya belajar khususnya ketika hari perlumbaan terutamanya perkara-perkara teknikal pada motosikal. Jentera kelas MotoGP berbeza dengan Moto2 dan Moto3 kerana ia menggunakan sistem elektronik. Sebab itu saya perlu habiskan perlumbaan," katanya ketika ditemui pada Program Pembangunan Bakat Litar Antarabangsa Sepang SIC, di sini pada Selasa.
Hafizh menamatkan perlumbaan di tempat ke-14 dan mengutip dua mata pada perlumbaan pusingan pertama di Litar Losail, Qatar, Ahad lepas.
Walaupun menyedari harapan peminat sukan permotoran negara mahu melihat beliau terus mencatat keputusan cemerlang dalam setiap perlumbaan, beliau tidak mahu mengambil perkara itu sebagai tekanan sebaliknya akan berusaha untuk mengharumkan nama negara.
"Normal apabila menjadi pelumba pertama negara berlumba dalam MotoGP, tumpuan terarah kepada saya...saya tidak mahu terlalu tertekan sebaliknya lebih bertenang, fokus dan perlu bekerja keras dengan pasukan untuk meningkatkan prestasi dari semasa ke semasa.
"Semua pelumba mahu meraih keputusan lebih baik dalam setiap perlumbaan. Ini musim pertama buat saya dalam MotoGP, masih banyak perkara perlu saya belajar," katanya.
Dalam pada itu, Hafizh berkata beliau tidak menyangka pada penampilan pertamanya dalam kelas perdana tersebut mendapat perhatian media tempatan dan antarabangsa yang sangat menggalakkan.
"Saya sangat berbangga menjadi salah seorang pelumba yang menjadi tumpuan media ketika perlumbaan. Perkara positif seperti ini membuatkan saya bersemangat untuk melakar lebih banyak kejayaan dalam perlumbaan MotoGP. Terima kasih kepada semua," katanya.
-- BERNAMA