Hafizh Syahrin mahu kembali berlatih secepat mungkin
Bernama
Februari 8, 2021 10:31 MYT
Februari 8, 2021 10:31 MYT
KUALA LUMPUR: Pelumba Moto2 negara Hafizh Syahrin Abdullah harap dapat kembali berlatih dalam masa terdekat selepas menjalani pembedahan mengeluarkan plat besi pada tangan kanannya baru-baru ini.
Beliau yang beraksi bersama pasukan baharunya NTS RW Racing GP musim ini mengakui teruja untuk memulakan latihan secara ringan seperti disarankan oleh doktor menjelang kempen Kejohanan Grand Prix (GP) Dunia 2021 di Litar Antarabangsa Losail, Qatar pada 28 Mac depan.
"Proses pemulihan ambil masa tiga hingga empat minggu dan doktor menasihati supaya tidak melakukan kerja berat menggunakan tangan, apa-apa pun saya jangkakan boleh mula berlatih secara ringan dalam tempoh dua minggu ini.
"Sasaran saya untuk cepat pulih supaya boleh beraksi di Qatar, saya tidak berani kata saya akan kembali cergas 100 peratus tetapi 90 peratus itu saya yakin," katanya kepada media tempatan dalam kiriman audio menerusi aplikasi WhatsApp.
Pelumba berusia 26 tahun itu berkata keputusan untuk mengeluarkan plat besi pada tangan kanannya adalah sebagai usaha memperbaiki serta mempertingkat prestasinya di atas litar.
"Keluarkan besi (plat) ini disebabkan gangguan dan rasa tidak selesa yang memperlahankan tindak balas gerakan tangan, jadi terpaksa buang besi itu untuk atasi masalah ini dan masa depan lebih baik," tambah beliau.
Khamis lepas, media tempatan melaporkan Hafizh menjalani pembedahan membuang plat yang 'ditanam' di tangannya sejak enam tahun lepas di sebuah hospital swasta di sini, setelah mengalami kemalangan di GP Valencia pada 2015.
-- BERNAMA
#Hafizh Syahrin Abdullah
#pelumba
#Moto2
#Kejohanan Grand Prix Dunia 2021
#Litar Antarabangsa Losail
#Qatar
#NTS RW Racing GP