Hafizh Syahrin cari keserasian bersama jentera NTS di Litar Jerez
Bernama
Disember 20, 2020 17:24 MYT
Disember 20, 2020 17:24 MYT
KUALA LUMPUR: Pelumba Moto2 negara, Hafizh Syahrin Abdullah berharap dapat mencari keserasian terbaik dengan jentera NTS pada sesi ujian rasmi Moto2 dan Moto3 musim 2021 yang bakal berlangsung di Litar Jerez, Sepanyol dari 16-18 Mac depan.
Pelumba berusia 26 tahun itu yang akan beraksi dengan pasukan NTS RM Racing GP pada saingan Moto2 musim depan, berkata beliau bergelut untuk menyesuaikan diri dengan jentera tersebut susulan hujan lebat ketika menjalani ujian sulung di litar sama pada bulan lalu menyaksikannya menduduki tangga ke-10 keseluruhan selepas melakukan 71 pusingan.
Hafizh Syahrin mengakui terdapat kelebihan dan kekurangan pada jentera berkenaan berbanding beberapa jentera lain termasuk Kalex, MV Augusta dan Speed Up yang digunakan pasukan Moto2 pada musim lepas.
"Sukar saya hendak bagi ulasan memandangkan ini tahun ketiga jentera NTS bersaing (dalam kelas Moto2 di Kejuaraan Motosikal Dunia), namun saya nampak jentera ini semakin baik bermula dengan GP Austria sehingga penghujung musim ini.
"Saya percaya jentera ini akan menjadi pencabar seperti Kalex dan Speed Up pada masa akan datang," katanya ketika ditemui pemberita pada majlis perasmian kedai gunting rambut miliknya, Nimroc Barbershop di Taman Dagang, Ampang, hari ini.
Sementara itu Hafizh Syahrin berkata beliau tidak mahu meletakkan sasaran terlalu tinggi dalam penampilan sulung bersama pasukan berkenaan, namun menyifatkan kutipan mata pada setiap perlumbaan yang bakal disertainya merupakan satu bonus bagi dirinya.
Hafizh Syahrin menduduki tangga ke-21 dengan mengutip 21 mata daripada 15 perlumbaan yang disertainya ketika mewakili pasukan Aspar Team Moto2 musim ini.
Mengenai perniagaan kedai gunting rambut itu, pelumba kelahiran Selangor itu berkata beliau sudah lama menyimpan hasrat untuk memulakan perniagaan sendiri yang merupakan peluang kepada dirinya menjana pendapatan selepas tidak lagi aktif dalam sukan permotoran pada masa akan datang.
Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif dan pengasas Nimroc Barbershop, Ardy Damis, memaklumkan syarikat itu menawarkan peluang membuka kedai gunting rambut kepada Hafizh Syahrin, pelanggan setia kedai berkenaan yang mula beroperasi sejak 2011.
"Bermula tahun ini, kami putuskan untuk kembangkan perniagaan kami, jadi Hafizh Syahrin adalah individu terawal yang kami tawarkan untuk buka francais pertama bersama Nimroc," jelas usahawan berusia 33 tahun itu.
Pembukaan Nimroc Barbershop di Taman Dagang itu adalah cawangan kelima selepas di Shah Alam, Danau Kota, Taman Maluri dan Damansara Perdana.
-- BERNAMA
#Hafizh Syahrin
#Pelumba Moto2 negara
#keserasian
#jentera
#NTS
#Litar Jerez Sepanyol
#NTS RM Racing GP