Hafizh Syahrin belum pulih sertai sesi ujian awal
Astro Arena
Februari 14, 2021 03:56 MYT
Februari 14, 2021 03:56 MYT
MEMANG sudah menjadi lumrah seorang atlet tidak boleh duduk rumah lama meskipun pelumba negara, Hafizh Syahrin Abdullah, ini sepatutnya berehat untuk pemulihan pembedahan tangannya baru-baru ini.
Penunggang Moto2 untuk pasukan NTS RW Racing GP itu yang berpangkalan di Belanda kelihatan menunggang basikalnya di laman media sosial sebagai latihan ringan dengan menggunakan sebelah tangan untuk berkayuh sejauh 55 kilometer dalam masa dua jam.
"Sudah tentu ada risikonya sebab saya kawal basikal dengan sebelah tangan sahaja.
"Saya perlulah memegang palang kawalannya dengan lebih kuat.
"Ini hari kedua saya berlatih dengan berbasikal dengan sebelah tangan sebanyak 90 peratus," kata bekas penunggang Aspar Team itu.
Hafizh Syahrin, yang akan menggunakan teknologi kerangka dari Jerman untuk musim 2021, menjelaskan dia terpaksa melepaskan ujian litar pertama di Portimao, Portugal, kerana pemulihan tangannya memerlukan sekurang-kurangnya tempoh tiga minggu untuk pulih.
"Saya mungkin terlepas sesi awal ujian tetapi saya sudah memaklumkannya kepada pasukan.
"Kami terpaksa terima keadaan ini demi kebaikan kedua-dua pihak pada masa akan datang," katanya lagi.
Turut berkongsi, elemen warna kebangsaan yang akan menghiasi jentera dua roda yang akan digunakannya musim 2021.
"Pasukan saya menggunakan tema putih dan biru, jadi saya tambah warna merah, ia melambangkan bendera Malaysia.
"Lagipun saya suka warna merah, jadi campuran ketiga-tiga warna ini walaupun tiada imej bintang dan bulan, ia sekurang-kurangnya menggambarkan warna kebangsaan."