Hafizh sedia bantu Khairul Idham di Moto2
Astro Arena
November 25, 2016 17:55 MYT
November 25, 2016 17:55 MYT
PELUMBA Moto2 negara, Hafizh Syahrin, bersedia untuk membantu Khairul Idham Pawi, untuk menyesuaikan diri dalam kategori itu musim hadapan jika Khairul menghadapi kesulitan, walaupun kedua mereka mewakili pasukan yang berbeza.
Oktober lalu, pasukan Honda Asia mengumumkan Khairul akan beralih ke kategori Moto2 pada musim hadapan.
Secara peribadi, Hafizh merasakan peralihan itu terlalu cepat memandangkan Khairul masih baru dalam arena MotoGP.
Namun sebagai pelumba negara yang sudah bersaing dalam saingan Moto2 sejak 2011, Hafizh sedia menawarkan khidmat nasihat bagi membantu Khairul untuk menyesuaikan diri dalam kategori baru.
"Saya sedia membantu dia kerana saya bukan jenis yang kedekut ilmu dan saya percaya satu hari nanti dia akan memperbaiki teknik tunggangannya untuk menjadi lebih bagus.
"Ilmu yang saya kongsikan dengannya, saya berharap dia akan menggunakannya untuk memberikan persaingan yang hebat," jelasnya.
Di Moto3, Khairul menggunakan jentera berkelajuan 250cc, dan dia bakal beralih ke 600cc apabila bersaing di Moto2.
Hafizh yang melakar pencapaian menakjubkan musim ini, menduduki tangga kesembilan keseluruhan menyifatkan usaha kerasnya berbaloi, meskipun kempunan untuk menaiki podium.
"Untuk tahun ini saya bersyukur kerana melepasi sasaran iaitu mengumpul mata lebih daripada 100, di mana saya menamatkan perlumbaan dengan 118 mata untuk 18 pusingan musim ini.
"Saya cuba untuk meneruskan aksi cemerlang di 2017 dan memberikan persaingan yang lebih baik."