Hafizh cipta sejarah naik podium Moto2 di Aragon

Bernama
Mei 26, 2013 21:29 MYT
Penunggang Petronas Raceline Malaysia's Hafizh Syahrin Abdullah mencipta sejarah sebagai rakyat Malaysia pertama menaiki podium perlumbaan Moto2 pada pusingan kedua 'Campeonato de Espana de Velocidad' di Motorland Aragon, Sepanyol, pada Ahad.
Permulaan yang lancar dengan jentera pada tahap terbaik, juara Cub Prix 2010 itu mengetepikan 35 pesaing pada Perlumbaan 1 untuk mencipta kemenangan sulung di tempat kedua dengan catatan masa 29 minit 27.524 saat, hanya 0.075 saat di hadapan pelumba Amerika Syarikat, Kenny Noyes di tempat ketiga (29'27.599s).
Pelumba Sepanyol, Roman Ramos menjuarai perlumbaan 15 pusingan itu dengan catatan 29'11.275s.
"Sukar untuk percaya saya akhirnya menaiki podium selepas melalui masa sukar ketika ujian masa tidak rasmi pada Jumaat dan pusingan kelayakan pada Sabtu kerana keadaan cuaca yang melampau.
"Saya berasa sangat gembira dan mengucapkan terima kasih kepada pasukan serta penaja yang memungkinkan semua ini berlaku," kata Hafizh Syahrin dalam kenyataan, di sini.
#Aragon #Hafizh Syahrin #Moto2 #Petronas
;