Hafiz Hashim latih bintang badminton India dalam usaha buru pingat Olimpik

Bernama
Julai 19, 2023 05:00 MYT
Muhammad Hafiz yakin bintang badminton India itu akan menemui semula sentuhan kemenangannya. - Foto fail/Stadium Astro
NEW DELHI: Bekas juara All England dari Malaysia Muhammad Hafiz Hashim akan melatih bintang badminton India, PV Sindhu dalam usahanya untuk memenangi satu lagi pingat Olimpik.
Sindhu, kelahiran Hyderabad, merangkul pingat perak di Sukan Olimpik Rio 2016 dan gangsa pada edisi Tokyo 2020.
Juara dunia 2019 itu bergelut dengan prestasinya sejak akhir-akhir ini ketika membuat persiapan untuk Sukan Olimpik Paris 2024, yang dijadualkan berlangsung dari 26 Julai hingga 11 Ogos.
"Selepas proses yang panjang dan berlarutan, saya sangat gembira untuk mengumumkan bahawa saya telah memilih Hafiz Hashim yang hebat sebagai jurulatih saya," kata Sindhu dalam catatan media sosial pada Selasa.
"Hafiz memiliki semua ciri-ciri yang saya cari pada seorang jurulatih, termasuk ketinggian, kelajuan, dan naluri menyerang," kata pemain berusia 28 tahun itu.
Pemenang pingat emas Sukan Komanwel itu baru-baru ini meminta kelulusan Pihak Berkuasa Sukan (SAI) India untuk menerima latihan daripada Hafiz.
Hafiz, 40, melepaskan jawatannya sebagai jurulatih bersama Persatuan Badminton Malaysia (BAM) hujung tahun lepas dan menerima tawaran daripada Akademi Badminton Suchitra (SBA) di Hyderabad tahun ini.
SAI akan membayar elaun perjalanan dan harian Muhammad Hafiz, manakala gajinya akan dibayar oleh SBA dan badan promosi sukan Olympic Gold Quest (OGQ), yang telah menyokong Sindhu selama bertahun-tahun, menurut laporan Hindustan Times.
Sindhu tidak lagi bersama jurulatihnya dari Korea Selatan Park Tae-Sang, yang telah melatihnya sejak 2019, pada Februari tahun ini.
"Bersiap sedia, ia akan menjadi perjalanan yang sukar buat kapten Hafiz," katanya dalam catatan itu.
Sindhu yang turut memenangi dua pingat perak dan gangsa pada Kejohanan Dunia, tersingkir daripada suku akhir Terbuka AS selepas tewas kepada pemain China, Gao Fang Jie, minggu lepas.
"Kekalahan itu telah meninggalkan kesan emosi yang ketara kepada saya, terutamanya dengan tahun mencabar yang saya lalui. Sungguh menyedihkan apabila mengalami kekalahan yang mengecewakan selepas setiap kejohanan yang berjaya," katanya pada Isnin.
"Bagaimanapun, saya berazam untuk menyalurkan emosi saya untuk menggandakan usaha saya dan menjadikan baki tahun ini benar-benar luar biasa," kata Sindhu.
Muhammad Hafiz yakin bintang badminton India itu akan menemui semula sentuhan kemenangannya.
"Tekanan akan sentiasa ada kepada kami (jurulatih dan pemain) dengan pengharapan. Tetapi itu juga untuk semua pencabar lain. Kami akan mencari jalan keluar untuk menemui semula sentuhan kemenangan yang menjadikan Sindhu sebagai pemain juara," katanya kepada majalah Sportstar.
-- BERNAMA
#badminton #pingat Olimpik #PV Sindhu #sentuhan kemenangan
;