Guti gesa Neymar sertai Los Blancos

Astro Arena
Februari 23, 2018 09:34 MYT
Spekulasi mengenai penghijrahan Neymar (gambar) menyertai Los Blancos membuatkan masa depan rangkaian penyerang Cristiano Ronaldo, Karim Benzema dan Gareth Bale menjadi tanda tanya. REUTERS / Fail
BEKAS pemain tengah Real Madrid, Guti, menggesa Neymar agar meninggalkan Paris Saint-Germain (PSG) dan menyertai kelab gergasi Sepanyol itu.
Bintang Brazil itu dikaitkan dengan perpindahan ke juara bertahan LaLiga itu sejak kebelakangan ini, selepas dilihat gagal menyesuaikan diri dengan keadaan di Perancis.
Guti yang kini mengendalikan skuad belia Madrid percaya Santiago Bernabeu adalah kelab ideal buat bekas pemain sayap Barcelona itu sekiranya dia berhasrat keluar dari PSG.
"Diharapkan Neymar akan menyarung jersi Real Madrid satu hari nanti. Jika dia mahu naik ke satu tahap yang lebih tinggi, Bernabeu adalah tempat terbaik," kata Guti.
"Pada akhirnya, dia akan berada bersama pasukan yang penting seperti Barca dan kini beraksi buat PSG hanya untuk melihatnya bermain dalam Liga Juara-Juara. Apa yang kurang pada dirinya adalah Madrid."
Spekulasi mengenai penghijrahan Neymar menyertai Los Blancos membuatkan masa depan rangkaian penyerang Cristiano Ronaldo, Karim Benzema dan Gareth Bale (BBC) menjadi tanda tanya.
Ronaldo dikaitkan untuk ke PSG sementara Benzema dan Bale bergelut dalam meraih tempat susulan prestasi yang tidak menentu.
Bagi Guti, Ronaldo adalah satu-satunya pemain yang dijamin tempat bersama skuad kendalian Zinedine Zidane, sementara rakan sepasukan lain harus membuktikan kehebatan mereka.
"Hanya Ronaldo yang layak untuk tidak diganggu kerana dia berhak menerimanya. Benzema dan Bale adalah pemain hebat dan jika berada pada prestasi terbaik, mereka adalah pemain penting dalam pasukan.
"Zidane telah membuktikan siapa yang layak akan diberikan peluang beraksi dan mulai sekarang, setiap pemain harus bekerja keras."
#bola sepak #Cristiano Ronaldo #Guti #Liga Juara-Juara #Neymar #Paris Saint-Germain #PSG #Real Madrid #Santiago Bernabeu
;