Gusti WWE: John Cena bertemu Triple H di bumi Arab Saudi

Astro Arena
Mac 27, 2018 10:46 MYT
Selain itu, melalui pengumuman rasmi di laman sesawang WWE.com, beberapa perlawanan hebat lain turut akan mengambil tempat. - Foto WWE.com
KEHANGATAN pasca Wrestlemania bakal berterusan apabila buat julung-julung kalinya, Juara Dunia 16 kali John Cena akan bertemu dengan Ketua Pegawai Operasi WWE, Triple H di acara WWE Greatest Royal Rumble pada 27 April depan.
Bakal berlangsung dari Stadium King Abdullah Sports City di Jeddah, Arab Saudi, acara ini akan mengimbau semula sejarah pertemuan antara kedua jaguh ini seperti yang pernah berlangsung di acara kemuncak Wrestlemania 22 pada tahun 2006.
Selain itu, melalui pengumuman rasmi di laman sesawang WWE.com, beberapa perlawanan hebat lain turut akan mengambil tempat.
BACA: Selepas Shah Rukh Khan, John Cena beralih kepada Aamir Khan pula
BACA: Michael Bay lamar John Cena jadi bintang utama Duke Nukem
Antaranya seperti perlawanan bertangga bagi perebutan Kejuaraan Antara Benua melibatkan juara sedia ada The Miz yang akan berentap dengan Finn Balor, Seth Rollins dan Samoa Joe.
Pasangan adik beradik The Hardy Boyz turut akan kembali beraksi bersama apabila bakal menentang Juara Regu Raw The Bar (Sheamus dan Cesaro) dengan bengkung kejuaraan Regu Raw bakal menjadi taruhan.
Tarikan utama sudah tentu adalah perlawanan tempur raksasa diraja Royal Rumble di mana 50 bintang WWE akan beraksi seperti The New Day, Shinsuke Nakamura, Bray Wyatt, Randy Orton dan ramai lagi.
Acara khas istimewa ini merupakan lanjutan kerjasama antara WWE dengan kerajaan Arab Saudi bagi memberikan pengalaman sukan hiburan terbaik khusus buat para WWE Universe di Timur Tengah.
#Arab Saudi #Astro #gusti #Jeddah #John Cena #Triple H #WWE
;