The Gunners lumpuh pada separuh masa pertama

Astro Arena
Disember 23, 2017 12:34 MYT
Kami sedar kepantasan yang dimiliki Liverpool, tetapi pertahanan yang terlalu di bawah bukanlah mesej yang kami hantar kepada pasukan, kata Wenger. - Gambar fail
ARSENE Wenger percaya Arsenal "lumpuh" dalam babak pertama ketika seri 3-3 menentang Liverpool dalam aksi Liga Perdana Inggeris (EPL), awal pagi tadi.
Arsenal gagal melancarkan sebarang percubaan tepat pada separuh pertama, manakala Liverpool yang semakin berbisa seharusnya mengukuhkan kedudukan selepas gol Philippe Coutinho di sebalik dominasi awal mereka.
Mohamed sekali lagi menyerlah dengan gol kedua perlawanan sekaligus memberi bayangan untuk mengulangi kemenangan 4-0 dalam pertemuan terakhir mereka Ogos lalu, namun The Gunners menemui rentak dan meledak tiga jaringan dalam tempoh lima minit. Jaringan lewat Roberto Firmino kemudian menyelamatkan Liverpol daripada kehilangan mata.
Biarpun Wenger mengakui ia satu perlawanan yang menghiburkan buat penyokong berkecuali, prestasi Arsenal pada babak pertama mengundang kritikan keras daripada pengurus veteran itu.
"Saya berasa kami lumpuh dan kaku pada separuh pertama -- kami bermain terlalu ke bawah," kata Wenger kepada Sky Sports. "Kami kehilangan banyak bola dan tenggelam.
"Ia berkaitan faktor psikologi dan kekalahan 3-1 kepada Manchester United di laman sendiri memberi kesan dan hasilnya kami membuat permulaan yang buruk.
"Bagaimanapun, kami memulakan separuh masa pertama ketinggalan dengan satu gol, ia mungkin telah berakhir. Pada babak kedua kami menunjukkan kualiti dan karakter sebenar. Kami telah memenangi banyak mata daripada kedudukan ketinggalan dan kini anda dapat melihat mengapa.
"Saya memberitahu pemain bahawa perkara yang baik adalah kita hanya ketinggalan 1-0, jadi kami mempunyai peluang yang baik untuk mencipta fasa yang berbeza. Apa yang kami lakukan sebelum ini cukup bagus dan kami tidak rugi apa-apa, kita mahu melakukannya."
Arsenal sering terperangkap dengan kepantasan serangan balas Liverpool, begitupun Wenger menafikan kegagalan pendekatan pasukannya di sebalik kelibat bek kiri, Ainsley Maitland-Niles -- pilihan mengejut berbanding Sead Kolasinac -- menjadi tanda tanya.
"Kami sedar kepantasan yang dimiliki Liverpool, tetapi pertahanan yang terlalu di bawah bukanlah mesej yang kami hantar kepada pasukan," kata Wenger.
"Pemain-pemain fikir apabila mengekang pemain lincah perlukan cara begitu tetapi kadang-kadang cara terbaik adalah untuk bermain lebih tinggi, bermain untuk ofsaid. Jika bermain terlalu ke dalam, pasukan lawan mempunyai ruang untuk menguasai bola dan itu juga berbahaya.
"Saya percaya Ainsley bermain baik, dia cukup bagus sekali dan ketika bermain sepenuh masa adalah penting untuk tidak melakukan kekasaran dan mengeluarkan bola dari kawasan bahaya, dia mempunyai kualiti itu. Dia perlu merebut peluang yang ada, itulah yang dilakukannya.
"Penyesalan kami adalah ketika mendahului 3-2, kami tidak bermain secara bertahan tetapi ia sebuah perlawanan yang mengujakan. Kalau pada separuh masa pertama mungkin kami akan berpuas hati dengan satu mata, tetapi sentiasa timbul kekesalan apabila mendahului 3-2," kata Wenger lagi.
#Arsenal #Arsene Wenger #EPL #Liga Perdana Inggeris #Liverpool
;