Guna pengadil luar negara untuk perlawanan akhir - Mukhriz

Bernama
November 4, 2019 20:17 MYT
MUKHRIZ: Jika ia boleh dilakukan semasa final Piala FA, Julai lalu, perkara sama sepatutnya boleh dilakukan pada final Piala Malaysia.
Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) didesak supaya mempertimbangkan permintaan banyak pasukan yang mahu setiap perlawanan akhir diadili oleh pengadil dari luar negara.
Presiden Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA), Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir, berkata, jika ia boleh dilakukan semasa final Piala FA, Julai lalu, perkara sama sepatutnya boleh dilakukan pada final Piala Malaysia di Stadium Nasional Bukit Jalil, Sabtu lalu.
"Saya juga difahamkan biasanya mengikut peraturan, pengadil yang mengadili perlawanan separuh akhir, tidak boleh lagi menjadi pengadil pada per perlawanan akhir.
"Kita tidak bermaksud bahawa kita ada rasa musykil (mengenai pengadil) pada final yang lepas, tapi langkah ini adalah untuk masa depan, seeloknya guna pengadil dari luar negara bagi mengelak sebarang keraguan terhadap proses pengadilan pada setiap perlawanan akhir.
Ditanya adakah KFA ada membuat bantahan mengenai pengadil sebelum final Piala malaysia antara Kedah dn Johor Darul Ta'zim (JDT), Mukhriz berkata pihaknya menerima maklumat mengenai pengadil agak lewat.
"Lagipun kita ini pasukan underdog (bukan pilihan), nak cakap lebih-lebih pun...inilah masalah pasukan underdog," kata Mukhriz.
Beliau berkata, kredibiliti pengadil negara luar biasanya tidak akan dipertikaikan dan seperti perlawanan akhir Piala FA, yang menyaksikan Kedah menewaskan Perak 1-0, tidak timbul isu mengenai proses pengadilan pada malam tersebut.
"Sewaktu pengadil Jepun mengadili final FA, dia 'tibai' dua-dua belah (pasukan), jadi kita tau dia (pengadil) tak main-main dan tak ada sesiapa bantah sebab tau dia ikut peraturan, Perak pun tak pertikai pengadil," katanya.
Sementara itu, Mukhriz berkata, pihaknya sebenarnya tidak terlalu kecewa walaupun Kedah gagal merangkul Piala Malaysia setelah tewas 0-3 kepada JDT, namun bangga kerana berjaya menjadi naib juara.
"Saya ucapkan tahniah kepada skuad Hijau Kuning dan yakin mereka untuk berjuang dengan lebih gigih," katanya.
Beliau berkata, KFA juga sangat berterima kasih kepada semua penyokong Kedah dan pihaknya juga sudah bermesyuarat dan membuat 'post mortem' serta membincangkan hala tuju pasukan untuk menghadapi musim 2020.
-- BERNAMA
#FAM #JDT #Kedah #KFA #Mukhriz Mahathir #pengadil luar negara #perlawanan #Persatuan Bola Sepak Malaysia #Piala Malaysia #Stadium Nasional
;