Guardiola tuntut aksi lebih baik anak buah

Astro Arena
Januari 21, 2019 09:41 MYT
GUARDIOLA: Kami perlu menganalisis apa yang telah dilakukan dan sekiranya kami ingin mencatat kemenangan pada masa depan, kami perlu bermain lebih baik.
HUDDERSFIELD TOWN 0 MAN CITY 3
Pep Guardiola memberi amaran kepada Manchester City supaya meningkatkan prestasi mereka selepas mencipta kemenangan 3-0 ke atas Huddersfield Town dalam aksi Liga Perdana Inggeris (EPL), malam tadi.
City memimpin permainan 1-0 dalam separuh masa pertama susulan percubaan Danilo terbias ke dalam gawang lawan dengan Leroy Sane kemudian memberitahu Sky Sports bahawa Guardiola "menyedarkan mereka" untuk aksi babak berikutnya.
Pemain sayap Jerman tersebut khususnya menyahut cabaran pengurusnya itu -- membuat hantaran lintang untuk disudahkan Raheem Sterling dengan gaya tandukan terbang sebelum turut melakar nama sebagai penjaring.
Bercakap dalam sidang berita selepas perlawanan, Guardiola masih tidak berpuas hati dengan aksi yang ditonjolkan pemainnya yang kembali menghimpit pendahulu liga, Liverpool, dengan empat mata.
"Hari ini, kami bergembira tetapi selepas itu kami perlu menganalisis apa yang telah dilakukan dan sekiranya kami ingin mencatat kemenangan pada masa depan, kami perlu bermain lebih baik lagi," katanya.
"Dengan cara kami bermain hari ini, kami tidak berhak mendapat lebih daripada tiga gol.
"Kami akan meningkatkan prestasi pada masa depan, kami perlu bekerja lebih keras dalam setiap perlawanan dan melakukan yang terbaik, tetapi kadang-kadang ia sukar.
"Aksi dalam babak kedua kami lebih baik, terutama pada 15 minit pertama. Rentak kami tidak cukup pantas dalam separuh masa pertama tetapi kami perlu akur.
"Saya bersikap jujur ​​dengan mereka dan sepanjang masa memberitahu mereka apa yang saya hajati.
"Kami perlu cuba mencari punca mengapa kami tidak bermain lebih pantas atau lebih baik.
"Selepas 16 atau 17 bulan, kami tidak boleh mengendurkan keamatan atau memperlahankan rentak.
"Kami tidak membuat hantaran secara berturut-turut, kami perlu bergerak dengan lebih pantas, kemudian mereka dipesan mengenai apa yang perlu dilakukan dalam babak kedua."
Berita positif mengenai perlawanan itu adalah mengenai dua tonggak utama, Kevin De Bruyne, yang menghabiskan permainan selama 90 minit buat julung kalinya dalam aksi EPL musim ini selepas dilanda kecederaan manakala Sergio Aguero kembali dalam skuad utama selepas menghadapi masalah kesihatan.
"Kevin bermain dalam tempoh 90 minit, itulah berita baik buat kami. Apabila anda mengalami kecederaan berpanjangan, anda perlu mendapatkan rentak permainan," kata bekas pengurus Barcelona itu.
"Sergio jatuh sakit dan dia memerlukan masa. Dia juga seorang pemain yang luar biasa tetapi mereka memerlukan rentak permainan."
Seterusnya, City akan turun mempertahankan kelebihan 9-0 untuk menentang Burton Albion dalam aksi separuh akhir Piala Liga Inggeris (EFL) sebelum menghadapi Burnley dalam pusingan keempat Piala FA di laman sendiri, hujung minggu ini.
Sebaliknya, Liverpool boleh berehat sebelum menyambut kunjungan Leicester City pada 30 Januari.
Guardiola, yang mengesahkan pemain termahal, Riyad Mahrez, tidak tercedera biarpun terpaksa dipinggirkan untuk perlawanan EPL ke-18 musim ini menambah: "Saya lebih suka berada di posisi Liverpool. Apa yang kami boleh lakukan adalah memenangi perlawanan sendiri. Meningkatkan prestasi, menganalisa permainan kami dan berusaha memperbaiki diri.
"Saya tidak dapat menjawab mengenai Liverpool dalam setiap sidang akhbar. Fokus kami selepas ini ialah Piala EFL.
#bola sepak #EPL #Huddersfield Town #Liga Perdana Inggeris #Manchester City #Pep Guardiola
;