Guardiola tabik bisa Harry Kane
Astro Arena
Februari 6, 2023 09:50 MYT
Februari 6, 2023 09:50 MYT
TOTTENHAM 1 MAN CITY 0
Pep Guardiola mengucapkan tahniah kepada Harry Kane atas prestasi luar biasanya selepas mengatasi rekod jaringan terbanyak Tottenham ketika menewaskan Manchester City, sebentar tadi.
Pengurus City itu telah lama mengagumi bintang England tersebut apabila pernah gagal memancing penyerang berkenaan ke Manchester menjelang pada musim lalu.
Bekas pengurus Bayern Munich dan Barcelona itu melabelkan Spurs sebagai "pasukan Harry Kane" pada 2017 dengan merujuk kepada kebergantungan Tottenham kepada tunjang utama berkenaan hingga mengundang rasa kurang senang pengendali Spurs ketika itu, Mauricio Pochettino.
Tetapi kali ini Guardiola mengucapkan tahniah kepada Kane yang mengatasi koleksi 266 gol milik Jimmy Greaves.
"Saya tidak mahu mengatakan bahawa ini adalah pasukan Harry Kane kerana jika tidak Poch, akan marahkan saya dan saya tidak menginginkannya," kata Guardiola kepada pemberita pada sidang media selepas perlawanan.
"Bagi Man City, saya boleh mengucapkan tahniah atas pencapaian yang luar biasa ini. Dia seorang pemain yang luar biasa."
Kane memecah rekod jaringan terbanyak kelab London itu sambil turut menyertai Alan Shearer dan Wayne Rooney yang mencapai angka 200 gol Liga Perdana Inggeris (EPL).
Spurs kental bertahan untuk kemenangan tipis 1-0 yang membawa mereka kepada satu mata di belakang kelab di tangga keempat, Newcastle United, sementara City kekal di belakang pendahulu, Arsenal, dengan lima mata.
City memastikan kemenangan 4-2 ke atas seteru sama di tempat sendiri pada bulan lalu, tetapi Guardiola mengakui kali ini berdepan cabaran berbeza di Stadium Tottenham Hotspur.
"Dua minggu lalu kami mampu daripada keputusan yang lebih sukar. Kali ini keputusannya hanya 1-0 tetapi berbeza dengan suasana stadium dan sorakan penyokong," tambahnya.