Guardiola simpati dengan West Brom selepas kontroversi ofsaid
Astro Arena
Januari 27, 2021 11:33 MYT
Januari 27, 2021 11:33 MYT
PEP Guardiola dapat memahami kekecewaan West Brom selepas Manchester City mendapat manfaat susulan satu kontroversi ofsaid ketika meraih kemenangan 5-0 di The Hawthorns awal pagi tadi.
Ilkay Gundogan menjaringkan gol berganda dalam aksi cemerlang City itu tetapi gol kedua yang dijaringkan Joao Cancelo benar-benar meragut semangat West Brom, yang sedang bergelut di zon penyingkiran.
Pertahanan tuan rumah itu telah bermain ketika penjaga garisan, Sian Massey-Ellis, mengangkatkan benderanya -- kerana percaya Bernardo Silva sudah berada di posisi ofsaid -- sementara City masih meneruskan serangan.
Skuad kendalian Guardiola itu meneruskan asakan dan berhasil menjaringkan gol menerusi Cancelo -- jaringan pertamanya dalam Liga Perdana Inggeris (EPL) itu disahkan selepas video bantuan pengadil (VAR) mendapati Silva tidak berada di posisi ofsaid.
Guardiola meluahkan rasa simpatinya selepas perlawanan itu tetapi menjelaskan bahawa City sentiasa bermain mengikut wisel pengadil, yang tidak ditiupkan sehingga bola menerjah jaring.
"Saya dapat memahaminya (mengapa West Brom kecewa)," kata pengurus City itu kepada BT Sport.
"Kini dengan adanya VAR, dalam situasi seperti ini, anda perlu bersedia sehingga aksi berakhir.
"Anda tidak tahu apa apa yang akan belaku. Gol itu diterima atau tidak? tiada siapa tahu, jadi anda perlu meneruskannya.
"Kami selalu mengingatkan pemain: sehingga ke penghujung aksi, teruskan kerana kita tidak tahu apa yang sedang berlaku," katanya.