Guardiola serius pertaruh gandingan Erling Haaland-Julian Alvarez

Astro Arena
Januari 2, 2023 11:00 MYT
Erling Haaland (kiri) meraikan kejayaan bersama rakan sepasukan selepas menjaringkan gol pertama dalam perlawanan EPL antara Manchester City dan Everton di Stadium Etihad, Manchester, Britain, 31 Dis 2022. REUTERS
GANDINGAN Erling Haaland dan Julian Alvarez mampu membantu Manchester City memusnahkan pasukan yang asyik bertahan, menurut Pep Guardiola.
City tercicir mata berharga kelmarin selepas seri 1-1 dengan kelab bergelut, Everton, di tempat sendiri tatkala pendahulu, Liga Perdana Inggeris (EPL), Arsenal, melebarkan kelebihan mereka di puncak dengan tujuh mata menerusi kemenangan 4-2 di Brighton and Hove Albion.
Haaland memberikan City jaringan pendahuluan ketika menentang The Toffees, tetapi jaringan menarik Demarai Gray membuatkan juara bertahan itu berputih mata selepas tewas di tempat sendiri kepada Brentford dalam perlawanan terakhir sebelum kempen Piala Dunia.
Dalam percubaannya untuk memenangi perlawanan, Guardiola memasukkan pemenang Piala Dunia bersama Argentina itu untuk dipasangkan dengan Haaland pada minit ke-87.
Biarpun langkah berkenaan tidak memberinya ganjaran tiga mata dalam kesempatan kali ini, Guardiola mengakui dia mungkin perlu menggilap gandingan mereka bagi meningkatkan keputusan positif ketika beraksi di gelanggang sendiri.
"Anda mempunyai dua penyerang yang mampu meledak gol," kata Guardiola.
"Untuk mencipta peluang anda memerlukan proses dan untuk proses itu, kadangkala anda memerlukan kriteria pemain berbeza untuk mencipta peluang ini.
“Tetapi sudah tentu mereka mampu melakukannya bersama-sama, khususnya ketika berdepan lima pertahanan.
"Pada minit-minit terakhir ketika di kedudukan 1-1, kami memerlukan pemain yang mampu menggalas peranan penting, di dalam mahupun di sekeliling kotak penalti, itulah sebabnya Alvarez diturunkan."
#Pep Guardiola #Erling Haaland #Julian Alvarez #Manchester City
;