Guardiola perbaharui kontrak selama dua tahun lagi

Astro Arena
Mei 18, 2018 10:27 MYT
GUARDIOLA: Saya suka bekerja dengan kumpulan pemain ini pada setiap hari dan kami akan berusaha untuk melakukan yang terbaik bersama-sama pada tahun-tahun akan datang. - Gambar fail
PEP Guardiola memeterai kontrak baru selama dua tahun untuk kekal sebagai pengurus Manchester City, demikian juara Liga Perdana Inggeris (EPL) itu mengesahkannya.
Bekas pengurus Barcelona dan Bayern Munich itu telah menandatangani kontrak selama tiga tahun di Stadium Etihad pada 2016 dan dengan perjanjian yang dilanjutkan itu, ini bermakna dia akan terus berkomitmen dengan City sehingga akhir musim 2021.
Guardiola menamatkan musim pertamanya dalam kancah EPL dengan tangan kosong, namun cerita berbeza dijelmakan musim ini yang menyaksikan City merangkul Piala Liga Inggeris (EFL) serta memenangi EPL dengan rekod pungutan 100 mata.
Pencapaian itu melonjak saham pengurus berusia 47 tahun itu untuk ditabalkan pilihan Persatuan Pengurus-Pengurus Liga dan Pengurus Terbaik Liga Perdana pada musim ini serta berharap dapat meraih gelaran lebih besar.
"Saya sangat gembira dan teruja. Saya gembira dapat bekerja di sini," kata Guardiola.
"Saya suka bekerja dengan kumpulan pemain ini pada setiap hari dan kami akan berusaha untuk melakukan yang terbaik bersama-sama pada tahun-tahun akan datang. Sebagai pengurus, anda perlu berasa senang dengan pemain-pemain dan saya rasa bagus.
"Saya akan memberi tumpuan terhadap keinginan pemain demi menjadi pasukan yang lebih baik dan pada setiap hari, itulah yang saya akan cuba lakukan -- meningkatkan prestasi di atas padang dan juga kemampuan pemain.
"Kami mempunyai skuad muda dengan purata usia 23 tahun dan kami mahu terus melangkah ke hadapan dan mengekalkan tahap yang telah dicapai musim ini."
Jika Guardiola menghabiskan kontrak terbarunya itu, ia akan menjadi tempoh paling lama dia berkhidmat dengan sesebuah kelab selepas empat musim bersama Barca dan tiga musim di Bayern.
Selain melakar jurang 19 mata di puncak dan mengutip mata tertinggi dalam sejarah, City juga menaikkan penanda aras EPL dari segi jumlah gol (106), rekod kemenangan berturut-turut (18) dan kemenangan (16).
Guardiola telah memenangi 77 daripada 113 perlawanan membabitkannya di Manchester, sementara kemenangannya yang dicapai sebanyak 72.4 peratus adalah yang tertinggi dalam sejarah EPL.
Pengerusi City, Khaldoon Al Mubarak berkata: "Kami gembira untuk mengumumkan kontrak Pep dilanjutkan sehingga sampai 2021.
"Dua musim bersama kami, dia telah memupuk semangat yang luar biasa di dalam skuad ini dan memberi sumbangan besar kepada kemajuan kami di dalam mahupun di luar padang.
"Dengan berbuat demikian, dia telah mengekalkan semangat dan komitmen yang kami miliki terhadap kelab ini."
Ketua Eksekutif, Ferran Soriano, menambah: "Lanjutan kontrak Pep adalah berita hebat untuk Manchester City. Kami mempunyai peluang istimewa untuk menyaksikan bagaimana kami bermain bola sepak yang indah, memenangi gelaran, melakar rekod baru serta mencapai 100 mata dalam Liga Perdana adalah sesuatu yang luar biasa.
"Pep membuktikan corak permainan in boleh berjaya dalam EPL menerusi cara yang tidak pernah dilakukan sebelum ini.
"Musim ini merupakan satu lagi langkah strategik kami dan usaha ini berterusan dalam usaha memperbaiki permainan kami. Kami sangat gembira dengan kemajuan ini.
"Banyak lagi tugas yang perlu dilakukan dan memiliki Pep yang komited ke atas Manchester City selama tiga musim akan datang memberikan kestabilan untuk meneruskan perjalanan kami dan kejayaan buat kelab."
#EPL #kontrak #Liga Perdana Inggeris #Manchester City #pengurus #Pep Guardiola
;