Guardiola pecah rekod 500 mata EPL terpantas bersama Manchester City

Astro Arena
Januari 23, 2022 09:21 MYT
Aksi Pep Guardiola ketika memerhatikan perlawanan EPL antara Southampton dan Manchester City di Stadium St Mary, Southampton, England, 22 Jan 2022. (Foto AP)
SOUTHAMPTON 1 MANCHESTER CITY 1
Pep Guardiola menjadi pengurus terpantas meraih 500 mata dalam sejarah Liga Perdana Inggeris (EPL) selepas Manchester City terikat 1-1 dengan Southampton di Stadium St Mary awal pagi tadi.
Pengurus berbangsa Catalan itu, yang mula mengambil alih City pada Ogos 2016, meraih mata bersejarah itu hanya dalam 213 perlawanan -- kurang 18 berbanding penyandang terdahulu, Jose Mourinho.
Turut berada dalam senarai adalah Jurgen Klopp yang meraih 500 mata menerusi 236 perlawanan bersama Liverpool manakala pengurus legenda Manchester United, Alex Ferguson, pula meraih jumlah mata sama sewaktu perlawanannya yang ke-242.
Arsene Wenger (249 perlawanan) melengkapkan senarai lima terpantas manakala Rafael Benitez (267), David Moyes (340), Martin O'Neill (351), Mark Hughes (367), Sam Allardyce (386), Harry Redknapp (392) dan Steve Bruce (441) juga berada dalam senarai pengurus dengan 500 mata.
Sepanjang di bawah bimbingan Guardiola, Arsenal merupakan penyumbang mata terbanyak buat City (34) diikuti dengan Burnley, West Ham (kedua-duanya 31), Leicester City dan Watford (kedua-duanya 27).
Ia juga merupakan kali pertama The Citizens keciciran mata sejak 13 perlawanan lalu, di mana kali terakhir adalah ketika mereka tewas 0-2 kepada Crystal Palace di laman sendiri pada 30 Oktober lalu, sekali gus berkelebihan 12 mata di depan pencabar terdekat, Liverpool, walaupun telah beraksi lebih dua perlawanan.
Kyle Walker-Peters memecahkan kebuntuan buat Southampton seawal minit ketujuh -- kali ketiga City dibolosi dalam babak pertama sepanjang liga musim ini -- tetapi pasukan pelawat itu kembali menyamakan kedudukan menerusi tandukan Aymeric Laporte pada minit ke-65.
Biarpun keputusan itu menamatkan rentetan kemenangan City, Guardiola tetap berpuas hati dengan persembahan pasukannya.
"Kami bermain dengan amat baik. Malangnya, kami dibolosi dalam babak pertama tetapi saya fikir ini merupakan persembahan terbaik kami sepanjang musim ini, setakat ini," katanya kepada Sky Sports.
"Mereka amat teratur dan ini merupakan persembahan terbaik kami ke atas mereka. Benar keputusannya tidak berapa bagus tetapi daripada segi prestasi dan cara mereka bermain, ia amat cemerlang.
"Kami bermain lebih baik berbanding ketika bertemu Arsenal, ketika kami menang, dan hari ini kami seri. Adakalanya, anda layak tetapi anda tidak menang tetapi dengan cara kami bermain, ia amat cemerlang.
"Southampton pasukan yang sangat baik. Mereka tersusun, mereka bermain 4-4-2, hantaran jauh, mempunyai rentak serangan balas, pembinaan permainan yang baik tetapi kami amat bagus hari ini.
"Mengapa kami perlu hilang kepercayaan terhadap apa yang kami sudah usahakan? Ia persembahan yang baik. Kami sudah pasti akan keciciran mata tetapi cara kami melaluinya amat baik," katanya.

Action shots 1-1 #ManCity pic.twitter.com/CcPevX0jHw

— Manchester City (@ManCity) January 22, 2022
An error occurred while retrieving the Tweet. It might have been deleted.
#Pep Guardiola #pengurus terpantas meraih 500 mata #EPL #Manchester City
;