Guardiola menang Anugerah Pengurus Terbaik Tahunan LMA

Astro Arena
Mei 25, 2021 11:27 MYT
GUARDIOLA: Saya gembira memenangi anugerah ini buat kali kedua tetapi anugerah seperti ini hanya dapat diraih oleh seorang pengurus yang dikelilingi profesional terbaik. - Gambar fail
Pep Guardiola dipilih sebagai pemenang Anugerah Pengurus Terbaik Tahunan Persatuan Pengurus Liga (LMA) selepas membawa Manchester City menjadi juara Liga Perdana Inggeris (EPL).
City menamatkan saingan EPL dengan berkelebihan 12 mata di tangga teratas selepas bangkit dalam separuh kedua musim ini.
Skuad kendalian Guardiola itu menjadi pasukan pertama dalam sejarah EPL memenangi kejuaraan itu walaupun menduduki tangga kelapan pada sambutan Hari Natal lalu -- jelas menunjukkan kebangkitan luar biasa mereka sepanjang 2021.
City dinobatkan juara lebih awal biarpun berbaki tiga perlawanan selepas Manchester United tewas kepada Leicester City bulan ini dan ia merupakan gelaran liga ketiga mereka dalam tempoh empat tahun ini.
Percaturan Guardiola dalam mendapatkan kejayaan itu telah diberikan pengiktirafan oleh rakan-rakan sejawatannya untuk diundi sebagai pemenang anugerah itu selain turut mengatasi pengurus Leeds United, Marcelo Bielsa.
Ketika menerima anugerah itu, Guardiola turut menzahirkan penghargaannya buat seluruh pemain dan pegawai pasukannya dengan berkata:
"Saya gembira dapat memenangi anugerah ini buat kali kedua tetapi satu anugerah seperti ini hanya dapat diraih oleh seorang pengurus yang dikelilingi oleh profesional terbaik."
#Manchester United #EPL #Manchester City #Liga Perdana Inggeris #undang-undang #Pep Guardiola #pemenang #pengurus terbaik #anugerah #Persatuan Pengurus Liga #LMA #pengurus
;